BELANJAWAN 2012 : TRANSFORMASI NASIONAL ~ MEMBELA RAKYAT, SEJAHTERA NEGARA (PART 1 )

Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

 

MUQADDIMAH

 

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim.

 

Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara 1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991 sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga 2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung langkah menuju negara maju berpendapatan tinggi.

 

Seperti mana semua mengetahui, saya telah memulakan pentadbiran ini dengan menggariskan falsafah pemandu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekali gus demokrasi yang berfungsi.

 

Selain itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan segala-galanya, kerajaan akan memetakan lagi beberapa program transformasi sektoral. Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini akan berpayung pada Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020.

 

Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang enam kali ganda kepada RM29 bilion pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia.

 

Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada RM21.2 bilion dalam tempoh 6 bulan pertama 2011 berbanding RM12.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2010. Pada tahun 2012, pelaburan swasta dijangka berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik.

 

Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan perbankan negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8 peratus, jauh melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian antarabangsa. Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat RM414.5 bilion pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada RM28,725 pada tahun 2011 berbanding RM26,175 pada tahun 2010.

 

Berikutan pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar sederhana, tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang bergolak, pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011 mencatat 4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh separuh kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang lebih rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 dianggar berkembang 5 hingga 5.5 peratus.

 

Bagi tahun 2012 pula, prospek ekonomi global dijangka lebih mencabar. Tabung Kewangan Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia kepada 4 peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8 peratus. Ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah serta perdagangan dunia yang lebih perlahan. Perkembangan global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.

 

Mengambil kira faktor ini, kerajaan akan menyusun strategi merancakkan aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan awam, serta penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat 15.9 peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

 

Penggunaan swasta diunjur meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala sektor pembinaan meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.

 

PERUNTUKAN BAJET 2012

Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, RM52 bilion adalah bagi Emolumen dan RM30.5 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM96.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM1.1 bilion disediakan untuk Pembelian Aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, RM29.8 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM13.6 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM1.4 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion, berbanding RM183.4 bilion pada tahun 2011. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.

Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok baru, menaik taraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaik taraf infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini berjumlah RM6 bilion akan dilaksanakan.

FOKUS BAJET 2012

Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang bertemakan “DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.

FOKUS PERTAMA:

MELIGAT PELABURAN

Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di bawah RMK10, kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian; perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan; serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.

Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak RM98.4 bilion, RM49.2 bilion bagi tahun 2012 dan RM49.2 bilion lagi bagi tahun 2013.

Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Serentak itu, untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus diamalkan bagi projek baru bernilai RM50 juta ke atas.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:

Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru; Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan Lebuhraya Central Spine serta pembinaan Jalan Kota Marudu – Ranau; dan Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 bilion di bawah Dana Mudahcara perkongsian awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagaitipping point bagi membantu sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai strategik kepada negara. Daripada jumlah ini, RM18 bilion untuk kegunaan projek berimpak tinggi manakala RM2 bilion untuk projek melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion di bawah dana ini dan dijangka RM300 juta akan digunakan oleh usahawan Bumiputera.

Bagi tahun 2012, kerajaan akan memperuntukkan RM978 juta untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara; projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.

Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau ini.

Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut:

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.

Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan

Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.

Seperti dibentang dalam Bajet 2011, kerajaan bersetuju untuk membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;

Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan

Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.

Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat sejak sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara. Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.

Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu produk kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun 2008 telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka dan beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur meneroka peluang pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana permulaan patuh syariah berjumlah RM200 juta. Dana ini akan memberi pinjaman secara pemadanan dengan jumlah maksimum RM20 juta.

Insya-Allah, kerajaan bercadang untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global. Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia.

Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan Felda. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan.

Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.

Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua.

Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana RM100 juta. Skim ini menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.

Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak RM10 juta untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis.

Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong pembangunan industri francais tempatan, kerajaan mencadangkan fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara.

Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian pembangunan negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada pemegang francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013.

Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya menarik seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan RM56 bilion. Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi menarik khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula.

Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan RM420 juta. Antara inisiatif yang akan diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.

 

FOKUS KEDUA:

MENGUNGGULI MODAL

INSAN, MENCERNA KREATIVITI

DAN MENCETUS INOVASI

Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai komersial.

Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan RM100 juta seperti berikut:

Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO;

Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;

Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;

Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;

Kelima: Memastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan RM30 juta akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia;

Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan

Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.

Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah RM500 juta pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.

Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.

Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju berpendapatan tinggi, kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif.

Sektor pendidikan akan diperuntukkan RM50.2 bilion bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Sebagai tambahan, peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut, RM500 juta kepada Sekolah Kebangsaan, RM100 juta disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM100 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM100 juta Sekolah Mubaligh, RM100 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara.

Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful.

Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang. Oleh itu, kerajaan mencadangkan sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan diberi galakan berikut:

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun;

Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan

Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.

Kerajaan berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali sekolah swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan.

Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah tersebut.

Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi potongan cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua tempat-tempat ibadat yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang singkat.

Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini, kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:

Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship;

Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan

Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s