BELANJAWAN 2012 : TRANSFORMASI NASIONAL ~ MEMBELA RAKYAT, SEJAHTERA NEGARA (PART 2)

FOKUS KETIGA:

PROGRAM TRANSFORMASI

LUAR BANDAR

Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap program transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat. Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah seperti berikut:

Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak;

Kedua: Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah RM100 juta akan disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi pengecualian duti setem; dan

Ketiga: Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak RM110 juta. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan RM140 juta yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.

Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara lebih komprehensif, peruntukan RM5 bilion akan disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Perhubungan Desa membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada 1.76 juta penduduk bandar. Di samping itu, 2.1 memperluas liputan bekalan air bersih 200,000 ribu rumah serta 1.1 lagi elektrik 39 buah rumah, khususnya di Sabah Sarawak.

Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Infrastrukur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM500 juta lagi demi melangsungkan terus usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.

Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek retikulasi ke Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah segera, telah membekalkan 20,000 tangki menggunakan kaedah tadahan hujan, untuk penduduk Sarawak, terutama rumah panjang melibatkan perbelanjaan RM52 juta.

Kemudahan ini memberi faedah hampir 100 penduduk. Bagi tahun 2012, program akan dipanjangkan pula negeri dengan peruntukan RM50 juta. Di kawasan Felda pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di sesetengah kawasan Felda, terutamanya di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Justeru, kerajaan akan memperuntukkan RM400 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan Felda yang terpilih.

Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan Premium. BSN akan menyediakan RM50 juta bagi membiayai pembangunan sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.

Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan tambahan RM28 juta akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan ini akan disediakan mulai 1 Januari 2012.

Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia, tidak ada mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya mempunyai saham dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda penting Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190,000 Orang Asli di seluruh negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012, kerajaan akan memperuntukkan RM90 juta untuk penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan pendapatan.

Sememangnya, kerajaan amat bersimpati dengan bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan dengan ini memperuntukkan RM20 juta bagi pemindahan penduduk ke kawasan perumahan baru.

FOKUS KEEMPAT:

MEMPERKEJAP

PERKHIDMATAN AWAM

Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:

Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah RM6,325.39 kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada RM8,710. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah RM3,860.52, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada RM5,370;

Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16.

Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan

Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta. Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan maju.

Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos gratuiti dan pembayaran pencen.

Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.

Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.

Bagi maksud ini, kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.

Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai. Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi pengutip hasil.

Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak RM3,000 secara one-off.

Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16 September baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan individu akan memerlukan Policing in a modern and open society. Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi merealisasikannya, kita memerlukan pasukan polis yang moden dengan latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih. Untuk ini, peruntukan khas RM200 juta akan disediakan. Manakala sejumlah RM442 juta lagi akan diperuntukkan pada tahun 2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.

Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa memelihara kebajikan mereka.

Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.

Terdapat seramai 175,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak RM50 juta akan disediakan.

Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout.

Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak RM3,000 secara one-offkepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup.

FOKUS KELIMA:

MEREDAKAN INFLASI

DAN MENGIMARAH

KEHIDUPAN RAKYAT

Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah berikut:

Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan terlatih;

Kedua: Memperuntukkan RM1.1 bilion pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA;

Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan RM300 juta akan disediakan; dan

Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan RM14 juta disediakan.

Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini, apabila:

Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar;

Kedua: Bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar;

Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50. Subsidi kerajaan berjumlah RM2.25 atau 47 peratus dari harga sebenar; dan

Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal RM1.90, rakyat hanya bayar RM1.35. Subsidi kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar.

Kesimpulannya, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?

Tidak cukup sekadar itu, subsidi kerajaan bukan terhad hanya kepada bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak RM17 bilion. Ini meliputi:

Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal RM2.75, rakyat hanya bayar RM1.90. Subsidi kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar;

Kedua: Bagi setiap liter diesel, harga asal RM2.66, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga sebenar; dan

Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal RM48.2, rakyat hanya bayar RM26.60. Subsidi kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari harga sebenar.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan RM150 juta dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat.

Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah RM33.2 bilion. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan.

Bagi tahun 2012, kerajaan akan menyediakan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan; bantuan kanak-kanak miskin RM100 sebulan, dengan had maksimum RNM450 sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara RM150 hingga RM300 sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500,000 rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup.

Selanjutnya, kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:

Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan RM40 juta;

Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai Felda dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara; dan

Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.

Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000, kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.

Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.

PR1MA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak pemilikan kerajaan. Justeru, kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa bidang tanah pemilikan kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenal pasti kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.

Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Justeru, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK10. Bagi tahun 2012, RM443 juta diperuntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.

Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan kesihatan akan diperuntukkan RM15 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Ini melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81 klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik 1Malaysia.

Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk itu, Hentian Pudu Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada satu-satu masa, yang dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaik taraf dengan belanja sebanyak RM40 juta. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah baru dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.

Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi hampir 3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan RM300 juta. Dari peruntukan ini, RM50 juta akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.

Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call semalaman antara RM30 hingga RM80 berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan golongan berpendapatan rendah, kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100,000 isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.

Bagi memastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi, kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham. Di samping itu, Mara akan menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsepManagement Buyout.

Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pada perspektif lain, kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat beban yang ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi yang meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik perkhidmatan teksi, kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet persendirian diberi bantuan seperti berikut:

Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan;

Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;

Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian;

Keempat: Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012; dan

Kelima: Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan RM1,000 akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012.

Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat kira-kira RM7,560. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.

Kerajaan komited untuk memastikan bahawa tidak ada orang yang dituduh atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk diguami. Pada kala ini, dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut, kerajaan akan menambah RM10 juta lagi kepada yayasan pada tahun hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM15 juta.

Bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, kerajaan telah menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung Singgah untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat ini menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan makanan, kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah tersebut, 250 orang telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan diperluaskan ke Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang kepimpinan dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut, antara yang utama, kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita yang berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi.

Pada tahun 2011, kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi kepada RM300 juta. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan RM2.1 bilion untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, RM100 juta disediakan untuk usahawan kaum India dan RM100 juta lagi kepada usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, kerajaan mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi pengecualian duti setem.

Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara. Untuk ini, kerajaan akan memperuntukkan RM320 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.

Bertolak dari situ, kerajaan prihatin terhadap suara dan nurani orang muda. Sebagai projek perintis, kita bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik Kerajaan yang bernama MyCreative Venture Capital dengan dana permulaan RM200 juta.

Manakala sebanyak RM200 juta lagi akan disediakan untuk latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action for Youth atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran yang dikendalikan oleh institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan, pelatih akan diberi latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka mudah mendapat pekerjaan.

Pada masa ini, futsal semakin popular di kalangan belia dan peminat sukan. Bagi menggalakkan aktiviti sukan ini, kerajaan telah siap membina 1,100 gelanggang futsal di seluruh negara, manakala 527 lagi sedang dalam pembinaan. Memandangkan populariti sukan tersebut, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM15 juta bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah terutama sukan bola sepak, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.

Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton, skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga diberi tumpuan. Untuk ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM30 juta menjadikan keseluruhan peruntukan RM84 juta bagi program mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.

Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya untuk mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik kerajaan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.

Dalam Bajet 2011, bagi memastikan pekerja swasta dan mereka yang bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM6,000 untuk caruman kepada KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping mempromosi skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:

Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan;

Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan

Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.

Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Bagi meningkatkan simpanan untuk hari tua, kerajaan mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk membina dan menaik taraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit, jambatan kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang. Inisiatif ini akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.

Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, kerajaan bercadang membuat pemberian tunai secara one-offatau sekali sahaja seperti berikut:

Pertama: Bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup.

Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Kedua: Bantuan persekolahan RM100 diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM530 juta. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan

Ketiga: Pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.

Kerajaan menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai tabungan minimum sebanyak RM1,300.

Justeru, bagi membolehkan bakal jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, kerajaan dengan ini membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui penghadangan atau ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak RM1,300. Melalui kaedah ini, wang pencarum sejumlah RM1,300 itu masih kekal dalam KWSP tetapi pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji.

Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dalam memastikan agenda pembangunan nasional menjadi kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan Ogos yang lalu, kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara.

Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000 bagi penjawat awam dan bantuan RM1,000 bagi pesara kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618,000 pesara kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak RM4 bilion.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s