PENEROKA FELDA KE BURSA MALAYSIA

FELDA

BAJET 2012 menempah era baru untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), penerokanya dan syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Dalam bajet tersebut, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bercadang untuk menyenaraikan salah satu syarikat perniagaan global Felda iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dalam bursa untuk menjadi sebuah syarikat berstatus konglomerat global.

FGVH dijangka akan menjadi salah satu syarikat blue chip perladangan. Ini akan meningkatkan pasaran modal pertanian negara dan dijangka menarik pelabur antarabangsa ke Bursa Malaysia. Langkah ini juga dijangka akan membawa “durian runtuh” kepada para peneroka.

Selepas penyenaraian, pemegang saham FGVH akan terdiri daripada bukan setakat Felda, Koperasi Permodalan Felda (KPF), tetapi juga orang awam dan agensi pelaburan yang lain. Setiap pemegang kepentingan ini menuntut kepentingan yang berbeza.

FGVH yang ditubuhkan pada 2009 adalah syarikat perniagaan global yang terlibat dengan kegiatan perniagaan minyak dan lemak, oleokimia, logistik dan perkhidmatan. Ia beroperasi di 13 buah negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan dan Timur Tengah dan memiliki lebih 80 syarikat yang aktif.

Lebih kurang 40 daripada syarikat ini di bawah Felda Holdings menumpukan perniagaan dalam negara. Felda Holdings adalah subsidiari FGVH yang terbesar. Ia mencatat pendapatan sebanyak RM14.9 bilion pada tahun kewangan 2010 dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM760 juta.

Felda Plantations adalah salah satu daripada subsidiari Felda Holdings. Fungsi Felda Plantations adalah sebagai agensi yang menguruskan ladang milik Felda sejumlah 340,000 hektar. Keuntungan utama Felda Plantations diperolehi melalui fi pengurusan (3.5% daripada keuntungan sebelum cukai syarikat), manakala keuntungan sebenar operasi perladangan seluas 340,000 hektar disalurkan kembali kepada tuan tanah iaitu Felda.

FGVH berwawasan untuk menjadi firma perniagaan tani global atau syarikat multinasional yang berintegrasi, pelbagai dan berasaskan pertanian. Maka, pengumuman penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tahun hadapan ibarat bagai pucuk yang dicita, ulam mendatang.

Dari segi strategi perniagaan, FGVH memang tepat untuk disenaraikan. Ia akan membawa faedah seperti melahirkan pasaran untuk saham FGVH, meningkatkan status kewangan syarikat, meningkatkan kesedaran awam dan pasaran dunia kepada syarikat ini dan keluarannya, memberi peluang kepada syarikat untuk melaksanakan skim opsyen saham(share options) kepada kakitangannya, untuk mendapatkan lebih banyak modal di masa hadapan melalui isu saham baharu atau sekuriti, memudahkan pemerolehan syarikat dan menyediakan peluang pelaburan kepada pemegang saham.

Penyenaraian ini bermakna FGVH perlu menjadi lebih telus dan bertanggungjawab kepada orang awam. Ini adalah amalan tadbir urus yang baik di mana masyarakat terutama pemegang kepentingan utamanya iaitu peneroka dan FGVH boleh menilai operasinya secara telus.

Berikutan penyenaraian, FGVH perlu mempertahankan aliran dividen dan keuntungan, ia akan terdedah kepada pengambilalihan oleh syarikat lain dan juga perlu akur kepada peraturan perundangan.

Namun, akan kehilangan privacy kerana ia sudah tersenarai. Pun begitu, penyenaraian FGVH akan menjadikan syarikat ini setanding dengan syarikat perladangan Malaysia dan antarabangsa yang lain di rantau ini. Ini mendorong FGVH lebih berdaya saing dan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih mudah.

Peneroka Felda akan menerima faedah melalui KPF yang memegang 51% saham Felda Holdings Bhd, yang bakal memegang kepentingan besar dalam FGVH iaitu dengan andaian sayap pelaburan ini berjaya memperolehi keuntungan melalui perniagaannya.

Setakat ini, prestasi FGVH amat menggalakkan. Pada tahun kewangan 2010; iaitu tahun kedua selepas ia mula beroperasi, FGVH mencatat pendapatan RM3.2 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM366 juta.

Apabila FGVH menyenaraikan MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd (MSM) pada bulan Jun yang lalu, KPF mendapat keuntungan sebanyak RM300 juta daripada lonjakan harga saham kerana ia memiliki saham sebanyak 20% syarikat tersebut. Bagaimanapun faedah penyenaraian FGVH secara langsung kepada peneroka bergantung kepada jumlah saham yang mereka miliki dalam KPF.

Setelah 50 tahun pelaksanaan, peneroka Felda telah beralih daripada peneroka kepada pekerja, kepada pemilik ladang dan (melalui KPF) pemilik saham dalam beberapa anak syarikat Felda. Ini suatu kemajuan.

Cadangan penyenaraian ini adalah bagus kerana peneroka berpeluang bersuara sebagai ahli pemegang saham FGVH melalui terbitan saham kelak. Insentif keuntungan dividen melalui pegangan saham secara langsung ini boleh mencetus keinginan peneroka untuk menjadi pengusaha yang lebih produktif.

Salah satu strategi untuk membolehkan peneroka menjadi pengusaha yang bertanggungjawab adalah melalui penubuhan koperasi pengeluar di tahap ladang mengikut model yang dilaksanakan di Amerika, Jepun, Thailand dan Taiwan.

Koperasi pengeluar berbeza dengan koperasi permodalan. Dalam koperasi pengeluar, peneroka sebagai ahli koperasi bekerja untuk kebajikan maksimum untuk ahli yang lain berlandaskan konsep koperasi.

Koperasi ini perlu membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab ke atas keputusan tersebut. Koperasi pengeluar ini akan meningkatkan daya maju dan kuasa rundingan peneroka. Dalam jangka masa panjang, ia akan membawa pertumbuhan yang sihat dan pesat kepada industri kelapa sawit dan komoditi yang berkaitan dan institusi Felda.

Mengikut teori ekonomi, firma yang besar memiliki kelebihan ekonomi skala di mana nisbah input kepadanya adalah rendah dan produktiviti adalah tinggi dan optimal. Tetapi sebaliknya berlaku dengan Felda. Walaupun Kumpulan Felda estet terbesar di dunia, tetapi dari segi kecekapan, ia kalah dengan estet swasta.

Ini berpunca daripada sektor tunggaknya iaitu peneroka/pekebun kecil yang bermindakan hanya sebagai “pengeluar” sahaja dan bukan sebagai “pengusaha” yang mampu menjanakan keuntungan sendiri.

Untuk memastikan pertumbuhan yang lestari bagi kedua-dua subsektor ini (konglomerat Felda dan peneroka), transformasi pada peringkat peneroka juga perlu dilaksanakan supaya perhubungan simbiotik antara kedua-duanya setara dalam dekad-dekad yang akan datang.

Para peneroka tidak boleh mengharapkan keselesaan hidup berlandaskan pembahagian bonus, bantuan dan skim-skim lain oleh Felda yang wujud dari dana hasil perkembangan pendapatan syarikat Felda semata-mata.

Transformasi yang dimaksudkan adalah program pemerkasaan peneroka ke arah berdikari, bertanggungjawab ke atas keputusan pengeluaran dan perniagaan dan memperkukuhkan kuasa rundingan mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s