ISU BUMIPUTERA DI BINCANG

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Malaysia buat pertama kalinya bersedia membuka ruang untuk membincangkan dasar kerajaan berkaitan kepentingan Bumiputera ketika Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bermula minggu ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah yang akan dibuat pada perbincangan Perkongsian TransPasifik (TPP), bagaimanapun dipastikan tidak menjejaskan kepentingan negara.

”Dua tiga tahun lalu, kita tidak bersetuju sama sekali membincangkannya. Tetapi saya berpendapat, pada rundingan pusingan ketujuh kami terbuka bagi membincangkan dasar kerajaan dan nyatakan pendapat negara, tetapi kepentingan negara masih lagi dipertahankan.

”Apa yang penting adalah memberikan kefahaman terhadap pembangunan dasar kita dan negara bersedia membuka ruang perbincangan mengenainya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC dan Mesyuarat Menteri-menteri APEC Honolulu, Hawaii di sini hari ini.

Antara isu sensitif yang dibincangkan Malaysia ialah dasar kerajaan, undang-undang berkaitan tenaga kerja dan alam sekitar.

Mustapa berkata, Malaysia mengharapkan kefahaman anggota TPP dalam perkara terbabit.

Katanya, dalam perjanjian dagangan dengan Amerika Syarikat (AS) melibatkan TPP, Malaysia telah peluang untuk berbincang beberapa isu.

“Sejak 18 bulan lalu, kita telah berbincang dengan mereka berkaitan beberapa isu sama ada mengenai ASEAN atau TPP.

”Kita sedang berusaha memberikan penjelasan mengenai polisi perlindungan kita. Berapa banyak yang perlu untuk kita terbuka untuk persaingan bebas dan apa yang penting untuk rakyat tempatan,” katanya.

Tambah Mustapa, setakat ini perbincangan TPP telah memasuki pusingan kesembilan yang melibatkan perkara-perkara khusus bagi garis kasar mengenai perjanjian tersebut.

”Bagi memastikan TPP yang bakal dipersetujui nanti adalah sesuatu yang berkualiti, kami telah bersetuju untuk tidak menetapkan garis waktu bagi memuktamadkan perjanjian itu.

”Walaupun anggaran yang dibuat adalah sekitar tahun 2013 hingga 2014 tetapi ia tidak memberi tekanan kepada negara-negara terlibat untuk memuktamadkan TPP secepat mungkin,” jelasnya.

Pusingan kelapan rundingan TPP berakhir pada 14 September di Chicago. Pusingan berikutnya telah diadakan di Lima, Peru, dalam minggu akhir Oktober.

Malaysia merupakan anggota terbaharu dalam TPP, yang juga merangkumi Australia, Brunei, Chile, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Status perbincangan TPP pada masa ini melibatkan komitmen akses pasaran untuk semua barangan, perkhidmatan, pelaburan dan polisi kerajaan.

Selain itu, ia turut menubuhkan institusi bagi melaksanakan pemantauan relevan bagi perjanjian itu serta melihat kerja-kerja masa hadapan.

Mustapa berkata, baru-baru ini, Jepun dan Mexico telah menunjukkan minat untuk menyertai TPP tetapi pengumuman rasmi masih belum dibuat.

”Malaysia mengalu-alukan penyertaan dari Jepun sekiranya mereka membuat permohonan untuk menyertai TPP kerana ia bakal memberi manfaat dari segi industri automotif.

”Namun ia perlu mendapat persetujuan bersama oleh ahli-ahli terlibat dalam TPP dan permohonan secara rasmi juga perlu dibuat oleh mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Sidang Kemuncak APEC yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 November ini juga akan berbincang mengenai Agenda Pembangunan Doha (DDA) yang telah tertangguh selama 10 tahun.

”Malaysia akan berusaha menyelamatkan perbincangan yang berlangsung sebelum ini dan akan membuka ruang untuk meneruskan perbincangan dengan tumpuan diberikan kepada isu-isu yang berkaitan,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, agenda perbincangan APEC 2011 adalah berkisar tentang mengukuhkan ekonomi rantau dan mengembangkan dagangan, mempromosi pertumbuhan teknologi hijau serta kerjasama mengenai transformasi peraturan dan kompetitif.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s