BUKAN SEKADAR AHLI UMNO, JADILAH ORANG UMNO

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu anggota UMNO sekadar menjadi anggota tetapi ‘orang UMNO’ yang taat dan setia kepada parti serta tidak sekali-sekali mengkhianati parti.

Sebagai ‘orang UMNO, katanya mereka hendaklah mempamerkan perwatakan itu melalui tindak-tanduk serta sistem nilai yang dipegang iaitu taat setia, tidak khianat, cinta dan kasih dan berkhidmat tanpa jemu dan berkorban kepada perjuangan parti.

“Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di hadapan lebih 2,700 perwakilan dan pemerhati pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Dalam berijtihad, katanya orang UMNO harus mencipta kebaikan dalam parti.

Beliau berkata mengambil faham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dalam Surah An-Nisa’ iaitu apabila keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Ketika mengupas pengertian menjadi orang Umno dalam konteks taat dan setia itu, Najib mengambil contoh ketaatan panglima perang Islam seperti Khalid al-Walid dan Usamah bin Zaid.

“Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa, sekalipun sedang berada di kemuncak karier. Menurut sejarahnya, (Khalid al-Walid) tidak pernah kalah perang.

“Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun beliau bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

“Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang UMNO,” katanya.

Najib berkata orang UMNO  yang taat dan setia tidak akan menikam dari belakang.

“Bercakap soal taat setia, kita tak mahu, bila depan kita disuruh angguk dia angguk, disuruh geleng dia geleng tetapi di belakang lain pula halnya. Jangan tikam belakang dan jangan pula main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk lurus kelingking berkait,” katanya.

Ketika menguraikan nilai cinta dan kasih, Najib berkata orang UMNO adalah orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti seperti dalam madah lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee “itulah kasih mesra, sejati dan mulia”.

Katanya orang UMNO yang cinta dan kasih kepada parti tidak takut atau gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

“Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

“Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Najib berkata orang UMNO  wajar kenal sejarah  parti, sama ada yang tersirat ataupun tersurat serta menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

-MediaUMNO

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s