INI JAWAPAN LENGKAP….!!!!!

JAWAPAN LENGKAP SOAL PENYENARAIAN FELDA GLOBAL

Matlamat asal penubuhan FELDA untuk membasmi kemiskinan rakyat telah pun tercapai pada 50 tahun pertama pembangunan FELDA dan kini telah pun masuk kepada Fasa kedua 50 tahun.  Tanah-tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka telah pun dibangunkan dengan jayanya.  Daripada tanah seluas 853,313 hektar yang dimiliki FELDA, seluas 521,938 hektar atau 61% merupakan kawasan berpeneroka dan selebihnya merupakan ladang FELDA

Pengambilan peneroka dilakukan secara besar-besaran oleh FELDA mulai tahun 1956 hinggalah akhir tahun 1989. Tiada lagi pengambilan peneroka dilakukan selepas tarikh itu berikutan keputusan Kerajaan tidak lagi mengambil peneroka mulai 1 Januari 1990. Baki tanah yang ada telah dijadikan sebagai ladang komersial dan diuruskan oleh FELDA Plantation Sdn. Bhd. selaku agen yang dilantik FELDA untuk menguruskan ladang bagi memastikan FELDA berdikari tanpa bantuan bajet tahunan dari Kerajaan. Dalam fasa 50 tahun kedua, melalui transformasi yang dibawa oleh Kerajaan dan pimpinan Negara, FELDA telah mengorak langkah dengan mempelbagaikan lagi perniagaan dan tidak hanya bergantung kepada komoditi utama iaitu sawit dan getah.

Mengenai  penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia akan menjadikannya ‘blue chips’ perladangan terbesar di dunia berasaskan pertanian yang bersepadu yang akhirnya akan memberi keuntungan kepada negara. Dengan mengekalkan teras FELDA sebagai peneraju perladangan, penyenaraian ini akan membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan penglibatan pelabur-pelabur  tempatan dan antarabangsa di sektor yang berkaitan dengan pertanian seterusnya mewujudkan persaingan yang sihat antara para pelaku industri tersebut.

Penyenaraian ini juga merupakan ‘durian runtuh’ kepada peneroka yang merupakan pemegang syer utama dalam Koperasi Permodalan FELDA (KPF). Melalui model bisnes baru, KPF akan menjadi pelabur utama dalam  FGVH yang mana ahlinya terdiri daripada peneroka, generasinya dan petugas Kumpulan FELDA.  Melalui penstrukturan ini, keuntungan yang akan diperolehi akan dinikmati dalam bentuk  dividen yang menguntungkan ahli-ahli KPF seramai  224,000 orang. Melalui penyenaraian juga, sebahagian keuntungan FGVH melalui lonjakan nilai pelaburan KPF akan diagihkan kepada peneroka melalui ganjaran khas.

Penyenaraian  ini  juga memberi  jaminan bahawa ia sama sekali tidak akan menjejaskan hak peneroka dan petugas FELDA secara keseluruhannya kerana ia hanya melibatkan tanah milik FELDA yang dipajakkan kepada FGVH. Ini bermaksud, tanah kebun dan tapak rumah peneroka tidak akan terlibat dan akan kekal milik peneroka. Manakala segala keistimewaan yang merupakan peruntukan-peruntukan khas yang diberi kepada peneroka dan generasinya akan diteruskan seperti bonus produktiviti, bantuan hari raya, bantuan persekolahan, tuisyen, pinjaman IPTA, khairat kematian, program kemasyarakatan dan program kemahiran generasi FELDA akan terus dinikmati oleh warga FELDA.

Untuk makluman, pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi yang berkaitan dengan FELDA adalah berdasarkan kepada Tatacara dan Urustadbir Syarikat (Memorandum & Articles Association). Sehubungan dengan itu, pelantikan beliau sebagai Pengerusi di dalam beberapa syarikat berkaitan FELDA dan KPF tidak menimbulkan konflik kepentingan kerana semua syarikat tersebut adalah di bawah Kumpulan FELDA dan setiap pertubuhan atau syarikat tersebut diuruskan mengikut akta-akta yang berkaitan dengan entiti berkenaan.

Kesimpulannya, penyenaraian FGVH yang merupakan perubahan positif besar yang dibawa oleh Kerajaan ini diyakini akan memberi faedah dan nikmat bukan sahaja kepada warga peneroka dan FELDA tetapi juga rahmat yang turut dikongsi bersama rakyat dan Negara keseluruhannya. Rahmat perkongsian kemakmuran ini adalah manifestasi kejayaan wawasan pintar suatu keajaiban sebuah mutiara gemilang yang bernama FELDA.-21/12/2011

Tulisan ini berasal dari jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan di Dewan Negara pada 21 Disember 2011.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s