BACA….. KEADILAN UNTUK SAIFUL….

Tan Sri Nordin Kardi – Mohd. Saiful Bukhari Azlan telah pun mengetahui keputusan aduan beliau kepada pemerintah mengenai pertuduhan jenayah yang beliau anggap telah diperlakukan terhadapnya oleh pihak tertuduh. Tertuduh telah didapati tidak bersalah daripada pertuduhan. Mahkamah telah memberi keadilan kepada beliau dan dengan itu beliau bersih.

Telefon dan emel saya hingga saat ini dipenuhi dengan gerak balas daripada kawan-kawan saya: daripada kedua-dua pihak – yang menyokong tertuduh menyatakan syukur dan yang tidak menyokong meluahkan rasa marah-marah mereka kepada saya.

Dalam hal Saiful, nampaknya banyak pihak termasuk Saiful walaupun reda tetapi merasa tidak memperolehi keadilan. Soalnya, benarkah perbicaraan selama tiga tahun itu bertujuan memberi keadilan kepada Saiful dan keadilan juga kepada tertuduh?

Saya berpendapat bahawa benar perbicaraan tiga tahun itu ialah untuk memberi keadilan kepada tertuduh tetapi salah jika dikatakan perbicaraan itu terus dikaitkan dengan memberi keadilan kepada Saiful.

Memberi keadilan kepada Saiful pada saya bukan di mahkamah jenayah. Dalam kes jenayah itu Saiful hanyalah seorang saksi, sama tarafnya seperti barang-barang bukti yang lain. Mahkamah hanya akan memutuskan menerima atau menolak barang bukti dan pernyataan saksi bagi memutuskan sama ada tertuduh melanggar undang-undang tertentu yang telah dibuat oleh negara.

Mahkamah jenayah ialah tempat membicarakan kes warganegara melawan negara (citizen against state) terhadap sesuatu pertuduhan yang dikenakan kepada seseorang tertuduh. Sebab itulah negara boleh menggunakan kewangan pembayar cukai untuk membiayai kos membuktikan negara lebih benar daripada yang dituduh.

Jika keputusan tidak memihak kepada terduduh dalam kes ini, mahkamah tidak akan mengatakan keputusan memihak kepada Saiful sebaliknya keputusan memihak kepada negara. Konsep inilah yang nampaknya kawan-kawan saya belum faham, dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang tidak faham.

Dalam mahkamah jenayah biasanya tidak disebut “A melawan B” atau “A (tertuduh) melawan Negara” tetapi pernah juga istilah “people” digunakan bagi mewakili negara seperti kes jenayah O.J. Simpson, bekas pemain American Footbal terkenal di Amerika Syarikat (AS) yang disebut juga sebagai “People of the State of California v. Orenthal James Simpson”.

Istilah ini menarik kerana jika digunakan di Malaysia, ia akan mengubah konsep ‘tertuduh melawan kerajaan’ kerana yang dilawan bukan kerajaan sebaliknya melawan rakyat negara itu yang mengizinkan (melalui prosedur undang-undang) wang cukai yang mereka bayar digunakan untuk melawan seseorang yang telah melanggar kepentingan atau peraturan negara.

Hal begini perlahan-lahan dapat mengubah persepsi bahawa sesuatu kes jenayah adalah perlawanan antara kerajaan dengan sesiapa juga yang dikenakan sesuatu pertuduhan. Dalam keadaan itu kerajaan akan dilihat sebagai tidak terlibat atau ‘neutral’.

Dalam kes Simpson ini, dia telah dituduh membunuh bekas isterinya Nicole Brown Simpson dan kawannya Ronald Goldman. Perbicaraan ini dianggap di AS sebagai perbicaraan abad ke-20 yang diberi liputan secara meluas dan luar biasa oleh media elektronik dan cetak.

Perbicaraan mengambil masa sembilan bulan di hadapan hakim Lance Ito. Simpson mengambil pasukan peguam yang sangat berprofil tinggi di AS, yang diketuai oleh Johnnie Cochran. Ahli-ahlinya termasuk F. Lee Bailey, Robert Shapiro, Alan Dershowitz, Robert Kardashian, Gerald Uelmen (Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Santa Clara ) dan Carl E. Douglas.

Johnnie Cochran dan pasukannya telah berjaya mengusik fikiran juri bahawa ada keraguan teknikal dalam pengurusan sampel DNA yang diambil. Cochran menimbulkan bahawa saintis dan juruteknik makmal lalai dalam mengendalikan bukti sampel darah dengan mempersoalkan pelbagai keadaan berkaitan pengurusan bahan bukti itu.

Cochran juga menimbulkan isu salah laku Jabatan Polis Los Angeles terhadap Simpson bagi menimbulkan keraguan itu. Cochran mengupah pakar DNA yang sangat hebat, Barry Scheck dan Peter Neufeld untuk menolak dalil DNA pihak peguam cara.

Simpson akhirnya diputuskan tidak bersalah terhadap pertuduhan. Hal ini perlu dibaca, bahawa mahkamah bukan mengatakan Simpson tidak membunuh tetapi Simpson tidak bersalah daripada pertuduhan. Jelas sekali hal teknikal memainkan peranan amat penting di mahkamah jenayah.

Berbalik kepada Saiful, di manakah dia sepatutnya menuntut keadilan? Saya katakan bukan di mahkamah jenayah kerana jika tertuduh didapati bersalah, Saiful tidak akan mendapat apa-apa selain daripada rasa puas hati. Oleh itu tempat Saiful mendapat keadilan seharusnya di mahkamah sivil.

Di mahkamah sivil, Saiful bukan hanya berperanan sebagai saksi atas arahan negara tetapi akan berperanan sebagai pihak yang menuntut.

Mengambil pengajaran daripada kes O.J. Simpson, di dalam mahkamah jenayah dia telah didapati tidak bersalah meskipun pelbagai hujah yang dikemukakan seperti memberi petanda bahawa tertuduh memang telah melakukan pembunuhan.

Isu-isu teknikal sememangnya menjadi pertimbangan hakim di mahkamah kerana hal-hal teknikal akan menimbulkan keraguan. Hakim tidak mahu negara menzalimi seseorang individu dengan melalui pertuduhan yang meragukan.

Dalam hal inilah negara yang diwakili oleh Peguam Negara dapat menghakimi kecekapan jabatan itu bekerja. Jika banyak kes yang mahkamah melepaskan tertuduh, biasanya rakyat akan mempersoalkan kecekapan bekerja dan tahap ilmu Peguam Negara yang mewakili kepentingan mereka.

Sebaliknya, di mahkamah sivil beban pembuktian tidak memerlukan syarat melampaui keraguan munasabah sebaliknya bergantung kepada kemampuan dan kecekapan peguam Saiful (bukan Peguam Negara) menunjukkan kepada hakim bahawa Saiful lebih benar.

Sebagai perbandingan, keluarga mangsa bunuh O.J. Simpson telah berusaha mendapat keadilan di mahkamah sivil. Semasa perbicaraan, bahan-bahan bukti yang digunakan di mahkamah jenayah digunakan semula di dalam perbicaraan sivil itu.

Perbicaraan sivil (civil trial) telah memihak keluarga mangsa yang masih hidup. Mahkamah sivil telah membuat keputusan bahawa Simpson bertanggung jawab menyebabkan kematian Goldman dan Brown secara salah (istilah digunakan ialah wrongful death).

Mahkamah pula membuat keputusan keluarga mangsa mendapat AS33.5 juta sebagai ganti rugi dan hukuman menyebabkan kesakitan (compensatory and punitive damage).

Mungkin orang awam di Malaysia juga tidak tahu bahawa untuk mempertahankan diri terhadap sesuatu pertuduhan oleh negara memerlukan wang yang sangat banyak.

Kita percaya dalam kes yang Saiful menjadi saksi baru-baru ini tentu yang dituduh telah berbelanja sangat banyak bagi mempertahankan diri beliau. Sebagai rujukan kes O.J. Simpson bagi perbicaraan dalam tempoh sembilan bulan, dia dikatakan telah berbelanja kira-kira RM20 juta bagi membayar kos mahkamah, yuran peguam dan upah pakar DNA yang mampu mencabar pakar DNA yang disediakan oleh negara.

Bagi mempertahankan dirinya di mahkamah sivil Simpson telah membelanjakan kira-kira AS$1 juta sahaja.

Jika saya diminta oleh Saiful untuk menasihatinya apa yang patut dibuatnya selepas ini bagi memastikan dia mendapat keadilan, jawapan saya ialah Saiful mesti segera mula memfail tuntutannya di mahkamah sivil.

Kawan-kawan yang hantar mesej marah-marah kepada saya pula silalah mula hulurkan sumbangan kepada Saiful untuk membiayai kos mahkamah nanti – AIDC

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s