KEKALKAN HARTANAH BUMIPUTERA!!!

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengecam sekeras-kerasnya cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) untuk menukar status hartanah lot bumiputera secara automatik kepada bukan bumiputera.

Mereka menyifatkan cadangan itu sebagai usaha terbaru untuk mempertikaikan hak keistimewaan kaum bumiputera dan diharap kerajaan tidak tunduk demi kepentingan semua.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, cadangan tersebut bukanlah bertujuan mengatasi kerugian yang ditanggung oleh pemaju kerana gagal menjual hartanah berkenaan semata-mata, tetapi didakwa sebagai strategi jangka masa panjang untuk melenyapkan hak keistimewaan bumiputera.

“Dahulu, pihak yang sama turut berkongsi pandangan dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai pemansuhan diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri Selangor.

“Kali ini mereka mempersoalkan perkara berkaitan itu lagi. Saya lihat mereka semakin berani dan lantang mempersoalkan keistimewaan bumiputera mungkin kerana terdapat sokongan politik daripada pihak tertentu yang berkepentingan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Beliau mengulas cadangan REHDA untuk menukar status hartanah lot bumiputera secara automatik kepada bukan bumiputera jika gagal dijual dalam tempoh masa tertentu.

Cadangan ini bagi mengatasi kerugian yang didakwa terpaksa ditanggung oleh pemaju kerana gagal menjual hartanah berkenaan, selain perlu melunaskan kos tertentu untuk mengubahnya berdasarkan undang-undang semasa.

Turut senada dengan Mohd. Hilmi ialah Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu,Osman Abu Bakar yang berkata, sifat tamak haloba pemaju hartanah sehingga mengenakan harga mencecah jutaan ringgit menjadi faktor utama hartanah tersebut tidak dibeli pembeli bumiputera.

Jelasnya, penumpuan pemaju kepada hartanah berskala tinggi itu menunjukkan sikap tidak bertimbang rasa golongan tersebut terhadap kebajikan rakyat khususnya kaum bumiputera yang masih kurang mampu memilikinya.

“Saya berpendapat kerajaan harus memperketatkan syarat penukaran status tersebut bagi memastikan hartanah lot bumiputera itu kekal dimiliki,” tambahnya.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali, prosedur penukaran status yang sedia ada perlu dikekalkan meskipun tiada pembeli dalam tempoh masa tersebut.

“Pihak pemaju dan peniaga hartanah seharusnya sudah bersedia memahami norma-norma ini pada peringkat awal pelaburan itu dilakukan. Isu ini seharusnya difahami dan dinilai dari perspektif pengguna akhir.

“Sekiranya mereka mahu hartanah mereka laku sekalipun, janganlah membuat projek perumahan yang harganya terlalu mahal sampai berjuta ringgit,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, REHDA sepatutnya mengenal pasti punca kegagalan menjual hartanah tersebut dari konteks kemasyarakatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s