Pusat Khidmat Dan Aduan BN Perak Guna Pendekatan Turun Padang, Selesaikan Masalah Rakyat

 

Turun padang dan selesaikan masalah rakyat.

Itu motto yang digunakan oleh Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak yang ditubuhkan hampir tiga tahun lalu yang berperanan membantu dan menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman politik.

Terletak di Jalan Canning Estate, Ipoh Garden, pusat itu kini diletakkan di bawah seliaan Ketua Urusetianya, Mohd Rawi Abdullah dan lebih 500 kes aduan diterima daripada rakyat sejak ia ditubuhkan.

Bercakap kepada Peraktoday.com, Mohd Rawi berkata, dalam sehari lima hingga enam kes diterima oleh pusat khidmat berkenaan yang membabitkan pelbagai isu yang bersangkut paut dengan khidmat yang ditawarkan pihak berkuasa tempatan seperti kutipan sampah dan lampu jalan.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu dan jika perlu, kita akan merujuk kes yang diterima hingga ke peringkat menteri demi membela nasib rakyat.

“Boleh dikatakan hampir 80 peratus masalah yang dirujuk kepada pusat khidmat ini berjaya diselesaikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Rawi yang juga merangkap Ketua Penerangan Parti Progresif Rakyat (PPP) negeri, berkata bagi memenangi hati rakyat, BN perlu mewujudkan lebih banyak pusat khidmat dan aduan di Perak.

Katanya, jika kemudahan itu dapat diwujudkan, rakyat boleh melaporkan aduan atau mendapatkan khidmat yang ditawarkan tanpa mengira masa dan tempat.

“Kita perlu membuka pusat khidmat dan aduan di setiap kawasan yang kini dikuasai pembangkang dan menggunakan pendekatan turun padang dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat dari satu kes ke kes yang lain.

“Tempoh khidmat yang ditawarkan juga perlu dilanjutkan dan di sini, ia beroperasi dari jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari dan kadang kala dibuka pada hari minggu juga.

“Buat sementara ini, pusat ini merupakan satu-satunya tempat untuk rakyat melaporkan aduan dan mendapatkan khidmat bantuan,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang menceburi dunia politik sejak 2000 berkata, pembabitannya dengan pusat Khidmat dan Aduan BN Perak bermula apabila menjadi sukarelawan selama lebih 18 bulan.

Dari situ katanya, timbul minat untuk membantu rakyat jelata yang ditimpa kesusahan meskipun ada pihak tertentu cuba memburuk-burukkan namanya apabila dituduh menjalankan kegiatan haram.

“Jika saya melakukan kegiatan haram seperti yang didakwa segelintir pihak, sudah pasti saya sudah ditangkap.

“Tuduhan liar seperti ini sama sekali tidak akan melemahkan semangat saya untuk terus berkhidmat dan membantu rakyat yang memerlukan pertolongan.

“Apabila sesuatu masalah rakyat dapat diselesaikan, ia memberi kepuasan kepada saya kerana dapat membantu dan ini sudah pastinya turut memberi imej yang baik kepada BN untuk jangka masa panjang,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s