PAS TETAP GUNA SYURGA DAN NERAKA

RESPONS Datuk Nik Aziz Nik Mat mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam Wacana Sinar Harian yang mendakwa Pas melakukan rasuah politik paling tinggi dengan menjanjikan syurga kepada pengundi disokong oleh Dr. Rani dan Ir. Khalid Samad iaitu pemimpin Pas Selangor dengan menyatakan UMNO sejak dulu lagi tidak faham konsep yang dibawa oleh Pas.

Penulis tidak fikir Abdul Rahman mempersoalkan isu syurga dan neraka. Setiap orang Islam Pas dan UMNO tahu bahawa perkara syurga dan neraka harus diimani.

Yang sekian lama diamalkan oleh Pas sewaktu pilihan raya ialah kenyataan iaitu ”undi Pas masuk syurga”. Apakah ada hujah syarie menyatakan begitu? Dalam bahasa lain undi UMNO masuk neraka. Apakah ia juga ada hujah syarie?

Ulama, pendakwah dan ilmuan selalunya memberikan batasan syurga dan neraka sebagai peringatan supaya perlakuan dan perbuatan kita harus selari dengan syara’. Yang menentukan syurga dan nerakanya seseorang ialah ketentuan Allah bukan kuasa manusia.

Pas juga sering melabelkan UMNO kafir. Pada masa dulu ia dihujahkan kerana UMNO berkawan dengan orang bukan Islam dalam Perikatan atau Barisan Nasional. Bagaimana pula sekarang Pas berkawan dengan DAP dalam Pakatan. UMNO tidak pernah mengatakan Pas kafir.

Lebih jauh lagi Nik Aziz sering menghubungkan UMNO sebagai parti jahiliah. Memperjuangkan Melayu adalah asabiyyah kaumiyyah. Kerajaan yang didukung oleh UMNO menghasilkan Bank Islam, Takaful, Universiti Islam, Darul Quran, peningkatan status mahkamah syariah, keusahawanan halal, membantu pelajar cemerlang dengan tajaan biasiswa ke dalam dan ke luar negara termasuk anak-anak orang Pas. Apakah ini langkah jahiliah yang dilakukan oleh kerajaan?

Kelantan di bawah pentadbiran Nik Aziz mengambil model institusi perbankan Islam, Takaful bagi sistem ekonomi negerinya. Kalau UMNO dikatakan jahiliah mengapa institusi yang digerakkan oleh UMNO diterima Kelantan. Kalau ia jahiliah Pas tidak harus menerimanya.

Pentadbiran Pas Kelantan menghadapi masalah pengurusan air bersih. Pernahkah UMNO melabelkan Pas Kelantan sebagai jahiliah kerana tidak pandai mengurus air di Kelantan? UMNO tidak pernah lakukan begitu.

Begitu juga dikatakan memperjuangkan Melayu itu adalah asabiyyah kaumiyyah. Memperkasa umat Melayu dengan proses pengislaman telah berjalan sejak zaman Melaka lagi. Terjadinya silang pengaruh Hindu-Buddha, Islam dan Barat umpamanya memberi kesan kepada watak Melayu.

Namun begitu umat Melayu hari ini baik orang Pas dan UMNO kefahaman Islamnya jauh lebih baik dari dulu. Ia adalah hasil dakwah dan tarbiah banyak pihak. Bila UMNO dan Pas bergabung pada awal 70 an, bulan dakwah dilancarkan di seluruh negara. Ia membawa impak baik yang menyebabkan kegiatan dakwah berjalan rancak.

Lihatlah Bahasa Melayu hari ini terdapat ribuan istilah al-Quran dimasukkan ke dalamnya sehingga ada ilmuan menyatakan Bahasa Melayu adalah Bahasa Islam. Apakah dengan mengukuhkan orang Melayu dengan kekuatan bahasanya dikatakan assabiyyah?

Assabiyyah kaumiyyah hanya terjadi apabila berlaku kezaliman terhadap kaum lain. Apakah sejak merdeka usaha UMNO membangunkan umat Melayu dalam ekonomi dan pendidikan tidak memberi ruang orang bukan Melayu membangun sama.

Ekuiti orang Melayu dalam pegangan ekonomi hanya dalam batas tidak melebihi 20%. Betapa pegangan orang bukan Melayu sekarang. Pembangunan bandar-bandar baru, pemilikan rumah kedai, rumah-rumah mewah yang menuntut kuasa beli yang tinggi umumnya milik siapa. Zalimkah namanya UMNO dan orang Melayu kalau orang bukan Melayu terus melakukan dominasi terhadap ekonomi dan pendidikan di negara ini.

Nik Aziz wajib berlaku adil terhadap apa yang berlaku. UMNO dan kerajaan adalah organisasi yang dikendalikan oleh manusia seperti juga Pas dan UMNO yang memiliki kekuatan dan kelemahan. Berlaku objektiflah bila menilai agar kezaliman terhindar dari kita.

Politik Islam tidak harus digerakkan dengan dendam kesumat dan sikap membenci yang keterlaluan. Politik Islam sering menganjurkan muzakarah dan ukhuwah. Kalau dengan kelompok bukan Islam dakapan berlaku dan pemikiran politik sosialis-demokratik diterima atas nama tahalluf siasi di mana tidak kenanya terhadap kelompok politik sesama Islam yang syahadahnya adalah sama.

Ahli politik seperti Nik Aziz harus memiliki jalur dakwah yang tinggi. Pengalaman berkongsi kuasa dengan UMNO dulu tidak harus dijadikan kebencian mutlak terhadapnya. Jiwa besarnya Hamas dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bergabung tenaga untuk kebaikan Palestin walaupun mereka pernah berperang dan berbunuhan adalah contoh terbaik di abad ini yang harus dijadikan contoh oleh Pas.

Sebagai ulama, peringatan syurga dan neraka adalah suatu kewajaran tetapi menyatakan memilih Pas masuk syurga dan memilih UMNO masuk neraka adalah sesuatu yang tidak syarie dan keterlaluan. Biarlah Allah menentukan syurga neraka seseorang kerana UMNO juga memperjuangkan Islam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s