SARAWAK : ANTARA HARAPAN DAN CABARAN KEPADA BN

fadilah-1Terdapat beberapa analisa yang menjangkakan parti pembangkang dapat menambah bilangan kerusi Parlimen di negeri Sarawak dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang berdasarkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perjumlahan pengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Haji Fadilah Yusof mengakui pembangkang mungkin dapat menawan beberapa kerusi Parlimen di Sarawak tetapi tidak menolak kemampuan Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk mengurangkan jumlah kerusi Parlimen pembangkang.

“Mereka (pembangkang) boleh war-warkan apa yang mereka hajat dan sasarkan tetapi kita juga mempunyai strategi, mereka kata akan dapat satu pertiga kerusi DUN dalam PRN lalu malah akan dapat perintah Sarawak tapi ianya terbukti tidak berlaku,” tambahnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menaruh harapan sekurang-kurangnya lima muka baru dari kalangan pemuda akan ditonjolkan sebagai calon Parlimen pada PRU akan datang.

Dalam temubual eksklusif bersama LUKMAN ABDULLAH di bangunan Parlimen baru-baru ini, Fadilah mengulas beberapa perkara berhubung pembangunan negeri Sarawak yang direncanakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud terutama dalam ‘Sarawak Corridor of Renewable Energy‘ (SCORE) yang akan melibatkan penempatan semula masyarakat luar bandar.

Beliau juga menerangkan cabaran perlaksanaan program ‘Rural Growth Centre’ di mana usaha memindahkan kelompok kecil orang dari satu kawasan yang jauh ke kawasan pengumpulan baru bagi mewujudkan perseimbangan kemajuan bandar dan luar bandar terutama dari segi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas lain.

Dalam perkembangan politik Sarawak, Fadilah juga memberi pandangan terhadap sikap pengundi kaum Cina yang boleh buat perubahan di samping kesan pengundi muda yang berada di dalam dan luar negeri itu.

Soalnya apakah Sarawak yang dianggap sebagai salah satu negeri ‘deposit tetap’ BN dilihat ‘tergugat’ sekiranya keputusan PRN 2011 diambilkira. Sedikit analisa berdasarkan beberapa kawasan parlimen di Sarawak.

Kini di Parlimen, BN Sarawak memiliki 29 kerusi manakala 2 kerusi milik DAP. Keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak memberikan gambaran undi-undi yang dijumlahkan akan memberi kesan negatif terhadap beberapa kawasan Parlimen BN di negeri itu.

Jumlah kemenangan 13 kerusi DAP dalam PRN Sarawak baru ini, menggambarkan kerusi Parlimen Bandar Kuching akan terus kekal di tangan DAP dalam PRU13 nanti kerana kerusi-kerusi DUN di kawasan parlimen itu seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP.

Parlimen Sibu juga dijangka berpotensi kekal pada pembangkang, mempunyai 3 kerusi DUN, DAP menang besar di DUN Pelawan di mana pengundinya ramai walaupun Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. Namun DAP kalah tipis di Bawang Assan.

Ketua Menteri, Tan Sri Pehin Taib Mahmud dikatakan akan membuat percaturan tertentu terutama dari segi pemilihan calon bagi mengembalikan Parlimen Sibu ke tangan BN.

Berdasarkan keputusan PRN itu juga, kalau dikira-kira jumlah undi DAP mampu untuk ‘merampas’ sehingga 5 kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU nanti.

Antara yang dilihat berpotensi adalah kerusi Parlimen Stampin, Sarikei dan Miri serta Parlimen Bintulu.

Kawasan Parlimen Stampin, dua DUN dimenangi dengan besar oleh DAP iaitu DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa manakala PKR menang di DUN Batu Lintang.

Di Parlimen Sarikei, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong.

Di Parlimen Miri pula, DUN Piasau menyaksikan kekalahan Presiden SUPP/BN, Tan Sri George Chan kepada calon DAP, Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut juga dimenangi DAP, hanya DUN Senadin dimenangi BN dengan majoriti tipis 58 undi.

Ikuti sedutan temubual tersebut di bawah…

AGENDADAILY : Senario politik di Sarawak sekarang ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dan persiapan Barisan Nasional (BN) Sarawak. Datuk selaku Ketua Pemuda PBB, mungkin dapat huraikan situasi terkini.

Yang Berhormat Datuk Fadilah Haji Yusof (YB. FADILAH) : Budaya dalam parti PBB, kita sememangnya telah dipesan oleh Ketua Menteri Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang juga Presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bahawa parti itu diasaskan atas perjuangan dan perkhidmatan.

Samada pilihan raya atau tidak, setiap ahli fokus kita adalah memberi khidmat yang terbaik berasaskan perjuangan kita, itu yang menjadi pokok pangkalnya.

Pilihan raya atau tidak kita sentiasa berada di akar umbi, samada bapak, Wanita mahupun Pemuda akan terus mengadakan pelbagai program dan kita kena berada di mana-mana mendampingi, mendengar dan seterusnya sebagai pemimpin akar umbi mestinya menjadi mata dan telinga kepada kerajaan.

Dasar dan strategi yang kita lakukan mesti mengambilkira apakah harapan, rungutan dan hasil dari suara rakyat di bawah. Oleh itu kita sentiasa membuat dasar serta strategi yang sentiasa relevan dan memenuhi aspirasi rakyat.

score2

Misalnya, mengapakah kita lakukan perancangan tahun 2030 sebagai sasaran negeri Sarawak sebagai negeri maju. Bila kita sasarkan 2030, apakah perancangan yang kita lakukan dan salah satu dengan sokongan kerajaan persekutuan merupakan NKRA luar bandar iaitu untuk memperlengkapkan terutamanya infrastruktur asas seperti letrik, air, jalan raya dan termasuk sokongan rumah-rumah luar bandar khusus kawasan yang amat memerlukan, ini semua sedang berjalan rancak.

Keduanya, dari segi sudut sosial ekonomi sebab kita menyedari Sarawak negeri luas dan kedudukan muka buminya cukup mencabar, sekiranya hendak melaksanakan sesuatu projek ianya akan melalui kawasan berpaya, pembinaan jalan raya akan melibatkan kos yang mahal berbanding kos pembinaan di mana-mana negeri di Malaysia, itu cabarannya.

Keadaan ini ianya jelas mewujudkan jurang antara bandar dan luar bandar agak ketara. Sebab itu fokusnya, bukan sahaja memberi tumpuan pembangunan bandar tetapi juga bagaimana untuk merapatkan jurang melalui pembangunan infrastruktur luar bandar melalui konsep pembangunan‘Regional Growth Area’.

Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan pembangunan di kawasan paling tertinggal iaitu ditengah-tengah kawasan negeri Sarawak, ianya dinamakan ‘Sarawak Corridor of Renewable Energy’ (SCORE). Ianya berada di tengah negeri Sarawak yang berhampiran dengan kawasan Baram, fokusnya adalah untuk cetusan pembangunan bagi memperseimbangkan pembangunan bandar-bandar utama dan luar bandar.

Ini akan jadi pemandu utama untuk kita mencapai negeri maju 2030. Ianya meliputi ekonomi yang berasaskan ‘Renewable Energy’ di mana kita membekalkan tenaga yang murah dan berpatutan berdasarkan sumber asas ataupun sumber semulajadi dan disekitarnya akan dibangunkan teknologi, bukan sahaja sains dan teknologi malah teknologi yang ‘berkedudukan’ tinggi yang akan memberi impak ekonomi disamping membuka ruang pekerjaan dan akan memberi kesan ekonomi hiliran pada rakyat tempatan.

Kita juga memfokuskan dalam kawasan tersebut seperti Halal Hub, Bioteknologi dan industri berat. Cabarannya ialah adakah kita mempunyai tenaga kerja mahir yang mencukupi.

Maka ekoran pada itu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah mengumumkan hasrat serta perancangannya untuk menubuhkan sebuah Universiti Teknikal atau berasaskan teknologi supaya kita dapat membekalkan secara berterusan tenaga mahir malah lengkap dengan ‘Research and Development’ (R&D) dan barulah akan melengkapkan seluruh infrastruktur kepada sebuah ekonomi yang berpendapatan tinggi.

AGENDADAILY : Apakah Datuk merasakan infrastruktur di negeri Sarawak itu berjalan dalam keadaan ‘lembab’ sejak merdeka dulu lagi.

YB. FADILAH : Tidak, ianya berjalan dan peruntukannya besar, banyak tapi apa yang saya kata tadi keadaan geografinya yang mencabar, kalau lihat dari sudut hendak buat jalan sahaja, sungai-sungainya sahaja banyak dan luas belaka, maka sekiranya kita hendak sambungkan jalan raya kita memerlukan jambatan, setiap jambatan pula memerlukan kos beratus juta berbanding keadaan di semenanjung, sungai tidak berapa banyak.

Di Sarawak, banyak sungai yang melaut luasnya dan jarak antara daratan ke daratan berkilometer, jalan raya ada tapi terpaksa menghubungkannya dengan menggunakan feri. Jambatan akan dibuat tetapi berdikit-dikit dan mengambil masa.

Kependudukan yang jarang antara satu penempatan ke satu penempatan lain, mungkin satu kawasan ada satu rumah panjang yang hanya mempunyai 20 ke 100 pintu tapi jarak ke sebuah rumah panjang yang lain agak jauh.

Dari segi dasar negara, bila kita hendak laksanakan pembangunan terutamanya infrastruktur mestilah berasaskan populasi dulu. Sudah tentunya keutamaan ikut kawasan jumlah orang yang lebih ramai dulu dan kawasan yang sedikit orangnya akan lambat sedikit mendapat kemudahan.

Sebab itu kerajaan mengambil pendekatan melaksanakan program ‘Rural Growth Centre‘ di mana kita memindahkan kelompok kecil orang dari satu kawasan yang jauh ke kawasan pengumpulan baru. Maka senanglah kita menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas lain tapi cabarannya ada orang tidak mahu.

Itu adalah sebahagian cabaran daripada usaha kita untuk membangunkan negeri dan negara, sebab kadang-kadang ada dari sudut kemanusiaan ada yang kita terpaksa melambatkan bukan kerana kita tidak mampu tapi disebabkan kita kena beri keutamaan pada kelompok yang lebih besar supaya dapat memenuhi kehendak ‘economic of scale’.

AGENDADAILY : Bagaimana usaha untuk capai Sarawak Negeri Maju Tahun 2030.

YB. FADILAH : Insyaallah akan tercapai, kita hendak percepatkan perancangan ‘Rural Growth Centre’ itu dengan usaha mendampingi rakyat menjelaskan mengapa mereka perlu pindah, kita berikan tanah supaya mereka akan dapat semua kemudahan asas. Semua ada, kesihatan, pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan.

Dari segi realitinya, sekira mereka masih kekal di kawasan yang begitu jauh pendalaman memang payah untuk membawa pembangunan kerana kosnya tinggi, kita kena realistik dan mereka perlu bersabar, apa yang kita lakukan kawasan yang terpencil ini ialah kita berikan mereka bekalan letrik melalui ‘hibrid solar’ atau bekalan ‘micro-hidro’ atau ‘genset’.

AGENDADAILY : Sejak bila usaha membina pembangunan luar bandar ini dilaksanakan di Sarawak.

fadilah-300YB. FADILAH : Sudah lama dilaksanakan tapi program ‘Rural Growth Centre’ ini tidak berapa lama tapi seingatan saya, sejak 15 tahun lalu sudah banyak kawasan pengumpulan itu diwujudkan. Cabaran ialah ada mereka yang tidak mahu berpindah kerana mereka rasa lebih selesa di tempat yang sediada.

AGENDADAILY : Pencapaian dan kejayaan yang Datuk lihat setakat ini.

YB. FADILAH : Kita sudah dapat merapatkan jurang, misalnya dari kemudahan ‘broadband’, kerajaan negeri membelanjakan melalui sokongan kerajaan pusat melalui dana (MCMC) kita dapat bekalkan di luar-luar bandar terutamanya bandar-bandar kecil dengan ‘connetivity’ seperti ‘WI-FI’ telah dicapai ke tahap 50 peratus, ini usaha yang akan berterusan.

AGENDADAILY : Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kita dapat melihat kawasan yang ramai pengundi Cina didapati mereka memihak kepada pembangkang, apakah ianya juga akan berlaku pada PRU13 ini.

YB. FADILAH : Saya mengharapkan terutamanya untuk menjadi sebuah negara yang maju, untuk kita capai Wawasan 2020, kita memerlukan sokongan semua pihak. Saya mengharapkan masyarakat Tionghua khususnya untuk berfikir secara terbuka dan lebih rasional kerana ianya akan mencorak masa depan negara kita samada dari struktur ekonomi mahupun politik apatah lagi sosial.

Mungkin mereka melihat pada sentimen pada masa itu tapi tidak melihat pada ‘factual’. Saya hendak membawa masyarakat Tionghua ini supaya berfikir lebih ‘realistic‘, rasional dan profesional dengan melihat pada sudut ‘factual’ dari segi dasar perjuangan.

Buat perbandingan, apakah dasar perjuangan Barisan Nasional (BN), apakah dasar yang telah kita aturkan, apakah strategi termasuklah transformasi politik, ekonomi, kerajaan…ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk meletakkan negara kita mampu bersaing pada masa akan datang, inilah yang patut mereka lihat.

Janganlah lihat politik berbentuk sentimen…politik sentimen memang boleh jadi populis tapi mereka tidak dapat menjamin struktur masyarakat yang lebih ‘sustainable’ pada masa akan datang.

Kalau mereka salah pilih, akan berlaku di mana wujudnya kerajaan yang diwakili oleh bumiputera sahaja tapi tiada wakil dari kelompok kaum Cina atau Tionghua dalam kerajaan atau sebaliknya. Ini akan mewujudkan suasana keharmonian, keamanan dan kedamaian negara kita akan terancam.

Ini kita dapat lihat apa yang berlaku di Indonesia dulu, kenapa orang tempatan Indonesia membakar kilang-kilang dan menghalau serta membunuh…mengapa…sebab orang tempatan merasakan bahawa mereka orang asal tapi yang menguasai bukan sahaja politik dan ekonomi Indonesia itu dikuasai oleh suatu kumpulan maka wujudlah jurang yang begitu ketara yang melahirkan suasana sosial yang tidak begitu sihat. Saya suka tekankan pada golongan generasi muda supaya berfikir secara profesional, rasional dan intelektual untuk membuat analisa perkara ini.

Memang benar, kalau kita melihat setakat ini, begitulah sentimennya dalam PRN yang lepas dan saya kira sentimen ini mungkin masih ada di situ walaupun sudah ada nampak sedikit perubahan tapi sentimen itu masih ada disebabkan ada golongan-golongan tertentu yang memainkan sentimen.

AGENDADAILY : Berdasarkan sentimenpada PRN lepas, kini Barisan Nasional Sarawak memiliki 29 kerusi Parlimen manakala dua kerusi Parlimen berada pada DAP, apakah Datuk menjangkakan BN akan kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen dalam PRU13 nanti.

YB. FADILAH : Saya melihat ada kemungkinan, ini kerana sentimen yang sama masih wujud sebagaimana dalam PRN lepas tapi saya melihat juga ada peluang untuk kita sekurang-kurangnya mengekalkan atau merampas kembali Parlimen Sibu.

Di Sarawak, kawasan yang diwakili mojoriti kaum Cina mempunyai tujuh kawasan Parlimen di mana sekarang BN kalah dua kerusi.

Ada kemungkinan dan analisa mengatakan BN akan kalah enam kerusi dalam PRU13 tapi saya mengharapkan dan menaruh keyakinan bahawa kita tidak kalah enam kerusi tetapi akan dapat mengurangkan kekalahan.

Mengikut keputusan PRN lepas dan berdasarkan beberapa analisa, kita mungkin akan hilang enam kerusi.

AGENDADAILY : Pakatan Pembangkang dikatakan mensasarkan lebih 10 kerusi Parlimen akan dimenangi dalam PRU13 akan datang, apa pandangan Datuk.

YB. FADILAH : Mereka ada sasaran dan kita juga ada sasaran serta ada strategi. Saya yakin, kita lihat apa yang mereka kata…dalam PRN lepas, mereka kata akan dapat menawan satu pertiga DUN malahan digembar-gemburkan akan dapat memerintah Sarawak dan ianya terbukti mereka salah.

Ianya juga jelas nyata hanya mainan politik semata-mata. Pembangkang sentiasa bermain dengan kata-kata janji manis dan propaganda politik.

Akhirnya dan realitinya, apa yang mereka kata tidak benar.

taib515

AGENDADAILY : Apakah Datuk akui, di Sarawak akan berlakunya kekurangan kerusi pada PRU13 dan apakah masyarakat Tionghua ini tidak boleh menilai.

YB. FADILAH : Ada kemungkinan kekurangan kerusi itu berlaku dalam PRU13 nanti jika kita membuat analisa berdasarkan PRN lepas.

Tapi kita juga ada fakta bahawa masyarakat Tionghua boleh membawa perubahan secara ‘block’seperti pengundian akan diberikan pada pembangkang di peringkat negeri manakala undian peringkat Parlimen diberikan pada BN.

Telah banyak kali berlaku di Sarawak, mereka merupakan satu golongan yang agak matang dari segi politik dan sebagaimana saya katakan bahawa masyarakat Tionghua melihat perkara ini secara fakta, siapa yang lebih baik memerintah dan membawa Malaysia ini pada tahap yang semua harapkan iaitu menjadi sebuah negara maju dan berpendapat tinggi, akhirnya sudah pasti masyarakat Tionghua akan mendapat manfaat yang lebih besar berbanding dengan masyarakat lain di Malaysia.

 AGENDADAILY : Apakah Datuk ada keyakinan BN Sarawak akan dapat mempertahankan sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen.

YB. FADILAH : Ya, kita berkeyakinan dan itulah sasaran kita malahan mungkin akan dapat 30 kerusi, walaupun susah kita akan tetap berusaha kearah itu.

AGENDADAILY : Usaha Perdana Menteri membawa perubahan melalui ‘Government Transformation Plan’ (GTP), sejauhmana Datuk melihat rakyat negeri Sarawak menerima anjuran tersebut.

YB. FADILAH : Begitu baik sekali, sebab mereka dapat merasai… kali pertama mereka dapat merasai bahawa bukan sahaja janji manis tetapi benar-benar dapat merasai dengan tindakan.

Contoh yang paling baik ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), belum pernah ada program peruntukan kerajaan diberikan terus pada rakyat, ini sebahagian daripada GTP iaitu kerajaan ‘pergi’ terus pada rakyat dan proses itu, pada peringkat awal memang ada sedikit permasalahan tapi akhirnya dapat diselesaikan dan rakyat begitu teruja, gembiran dan mereka dapat merasai kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan apa yang dijanjikan.

AGENDADAILY : Ada pihak mengibaratkan pemberian BR1M itu mempopularkan PM pada rakyat, apakah faktor ini boleh membawa sokongan pada BN di Sarawak dalam PRU akan datang.

YB. FADILAH: Sepatutnya begitu, sebaba kalau ‘General’ kita bagus sudah tentu orang akan ada keyakinan. Sebab itu pembangkang, yang pertama mereka nak lakukan ialah membunuh ‘General’, itulah mereka serang habis-habisan Ketua Menteri kita dalam PRN yang lepas.

Kerana Ketua Menteri Pehin Taib yang dapat membawa kekuatan negeri Sarawak, begitu juga di peringkat persekutuan, kekuatan kita mesti pertama sekali bergantung dengan Perdana Menteri yang mana kita yakin, Insyaallah akan dapat membawa keseluruhan BN pada keyakinan rakyat bahawa sekiranya kita mempunyai ‘leader’ yang kuat maka yang lain akan turun bersama.

 AGENDADAILY : Datuk bercakap soal ‘General’ diperingkat pusat, bagaimana dengan ‘General’ diperingkat negeri Sarawak.

 YB. FADILAH : Sama, kita berjalan seiring. Orang kata, isu yang digunakan pembangkang adalah Ketua Menteri kita dah lama tapi kalau kita buat perbandingan siapa lebih lama…Nik Aziz dah berapa lama, Lim Kit Siang dah berapa lama, apa yang mereka lakukan…bandingkan pencapaian negeri Sarawak dengan pencapaian negeri Kelantan.

Dari pembangunan, nikmat, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sarawak perolehi…bukankah ini menunjukkan dan membuktikan bahawa KM merupakan seorang ‘General’ yang begitu kuat dan boleh membawa kemajuan negeri bersama pemimpin-pemimpin lain.

AGENDADAILY : Bagaimana Datuk melihat perkembangan pembangkang di Sarawak sekarang ini.

YB. FADILAH : Mereka masih bergerak macam PRN yang lepas, cuma kali ini kurang pemimpin dari persekutuan datang ke Sarawak tapi isu yang sama iaitu untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

Mereka terus memutarbelitkan rakyat dengan fakta yang separuh masak tapi dimasak-masakkan kemudian terus mengelirukan rakyat.

Saya yakin bahawa rakyat Sarawak menyedari, memahami dan mengetahui perkara ini, mereka telah lakukan perkara ini pada PRN dan rakyat tidak mempercayai mereka. Kita akan terus memaklumkan dan bersama rakyat untuk menjelaskan bahawa dari segi dasar perjuangan BN lebih baik daripada mereka.

AGENDADAILY : Selaku Ketua Pemuda parti PBB, berapa ramaikah tokoh-tokoh muda akan ditonjolkan sebagai calon Parlimen dalam PRU13 ini.

YB. FADILAH : Saya boleh meramalkan sajalah…melihat pada parti-parti komponen serta gambaran yang diberikan oleh pucuk pimpinan mungkin akan ada muka-muka baru daripada PBB manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah umumkan sekurang-kurangnya seorang, daripada SPDP pun mungkin seorang atau dua orang akan diganti dengan orang muda.

Mungkin akan ada sekurang-kurangnya lima orang muka baru dari kalangan orang muda di Sarawak.

anaksarawakAGENDADAILY : Difahamkan ramai pengundi muda yang berada di luar Sarawak merupakan golongan yang bakal mempengaruhi suasana pengundian pada PRU akan datang, apa pandangan Datuk.

YB. FADILAH : Saya tidak nafikan, sebab itu kita sentiasa mendampingi rakyat kita samada di semenanjung mahupun di luar negara.

Saya berkeyakinan kerana saya sudah menjelajah terutamnya di universiti-universiti, majoritinya mereka bersama dengan kita dan memberi sokongan penuh pada kita. Bukan sahaj dari segi interaksi individu tetapi juga melalui media sosial seperti ‘Facebook’, ‘twitter’ dan lain-lain menunjukkan mereka memahami dasar perjuangan BN.

Rakyat Sarawak yang berada di semenanjung lebih ratusan ribu orang, terdiri dari pelajar universiti dan mereka yang bekerja serta mempunyai keluarga.

AGENDADAILY : Apa cara pendekatan yang dilakukan bagi mendekati rakyat Sarawak di semenanjung.
YB. FADILAH : Kita mengadakan dua perjumpaan setahun, perjumpaan menyambut Gawai Dayak dan Hari Raya Puasa, contohnya tahun lepas kita adakan perjumpaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana beribu-ribu rakyat Sarawak hadir dan itu jelas menunjukkan sokongan mereka pada kita.

Mereka hadir tanpa jemputan khas, ini menunjukkan mereka mahu bersama dan mahu mendengar apakah perancangan masa depan, kita juga memberi penarafan pada mereka dari dasar dan strategi, kita juga memahami kehendak mereka.

AGENDADAILY : Pihak pembangkang dikatakan telah mewujudkan ‘kader-kader’ mereka dikalangan orang muda, apa tindakan yang Pemuda PBB buat.

YB. FADILAH : Kita sebuah negara demokratik, semua pihak akan melakukan strategi, pembangkang ada strategi dan kita juga ada strategi, yang penting dan pokok pangkalnya ialah kita sebagai kerajaan, kepimpinan BN kena mendekati mereka secara terbuka.

Zaman sekarang bukan zaman memberi arahan…zaman ‘yes sir’, ini zaman keterbukaan, maknanya kita kena dampingi mereka secara hati yang terbuka, sentiasa mendengar, bersama mereka dan sebaik, seboleh mungkin untuk bersama memahami aspirasi mereka dan kita rencanakan ikut acuan apa yang mereka kehendaki, kalau itu kita dapat lakukan, Insyaallah saya kira dan yakin orang muda akan bersama dengan kita.

AGENDADAILY : Ada pihak menekankan bahawa KM Sarawak perlu letak jawatan semasa PRN dan serah tampuk pemerintahan negeri Sarawak pada pihak lain, apa pandangan Datuk.

YB. FADILAH : Memang dalam mana-mana parti politik pun ramai yang akan bercakap begitu tapi paling penting, ahli parti itu sendiri. Dalam konteks PBB kita mahu KM kita terus berada di situ, sebab beliau adalah faktor ‘penstabilan’ dan ‘penyatuan’ politik Sarawak.

‘Track record’ dan kebolehan beliau membawa Sarawak pada satu persada dan kita menyerahkan pada beliau untuk menentukan bila masa yang sesuai untuk beliau serahkan kepimpinan pada sesiapa yang difikirkan sesuai untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan pembangunan negeri Sarawak.

AGENDADAILY : Tidakkah faktor mengekalkan kedudukan beliau sebagai KM itu akan ‘mengurangkan’ kerusi Parlimen dalam PRU13 nanti.

YB. FADILAH : Ramai yang akan berkata demikian, saya yakin tidak, sebab keyakinan kita dalam kepimpinan beliau dan kita memerlukan beliau untuk kesinambungan pembangunan yang telah dirancang.

Kalau beliau ‘turun’ mungkin ketidakstabilan politik akan wujud dan akhirnya merugikan rakyat Sarawak sebab kita tidak mampu untuk berada dalam keadaan ketidakstabilan politik itu.

Rakyat Sarawak perlu melihat faktor kestabilan dalam konteks yang lebih besar dan luas. Kalau pembangkang sudah pasti akan memainkan isu bahawa beliau (KM) sudah terlalu lama, korup dan sebagainya.

Perlu diingatkan ada pihak media pro-pembangkang yang telah minta maaf pada KM bila membuat tuduhan tidak betul.

AGENDADAILY : Apa harapan Datuk

YB. FADILAH : Ini bukan sahaja dalam konteks Sarawak tapi keseluruhan Malaysia. Saya melihat bahawa kalau kita tidak dapat menguruskan politik kita dengan baik samada diperingkat kerajaan mahupun khususnya dipembangkang, jangan sekali kita merosakkan sistem pentadbiran negara kita.

Ianya seperti sistem kehakiman, parlimen dan keselamatan, jangan sesekali kita ancam, robek dan robohkan sistem ini, sebab sistem itulah yang akan dapat mengekalkan keharmonian dan keamanan.

Kalau orang tidak menghormati kehakiman maka akan berlaku huru-hara di mana orang akan mengambil tindakan undang-undang ditangan mereka sendiri.

Sekiranya tidak menghormati sistem parlimen kita lagi, tidak guna ada Wakil Rakyat sebab orang akan memandang serong kepada ahli politik samada ianya dari sebelah kerajaan mahupun dari pembangkang.

Ketiganya, kalau sistem keselamatan kita timbulkan imej yang tidak baik maka kita akan merosakkan imej negara dari sudut keselamatan, ianya akan sebabkan pelancong dan pelabur tidak akan datang, sebab itu jangan sesekali melakukan perkara yang boleh merosakkan apa sekali sistem yang ada dalam negara kita.

Dalam dasar politik secara beretika, bila kita katakan etika, jangan kita sesekali buat sesuatu tohmahan yang tidak berasas dan tidak mempunyai bukti yang kuat hanya sekadar untuk membangkitkan rasa kemarahan serta tidak puashati pada seseorang.

Lebih baik kita berjuang atas dasar perjuangan parti. Apakah dasar perjuangan kita, apakah strategi untuk kita meletakkan Malaysia ini kepada satu persada yang lebih baik lagi.

Kalau ini kita dapat pegang, Insyaalah barulah kita dapat menuju kearah apa yang dikatakan ‘mutuality of Malaysian’ sebagai sebuah parti politik, sebagai seorang politikus dan mencapai sebuah negara yang maju, ekonominya berpendapatan tinggi dan kita dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Keharmonian yang kita kecapi dari dulu patut dikekalkan tetapi sekarang ini kita dapati sudah mula ada keregangan disebabkan ada mereka yang memainkan sentimen-sentimen keagamaan dan bangsa yang akan menjarakkan lagi keakraban perhubungan sedia ada.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s