10 ALASAN DARI PIHAK PENDAKWA SABITKAN ANWAR IBRAHIM

 

Kes Liwat

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan agar mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pihak pendakwaan juga memohon supaya Ketua Pembangkang itu disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu.

Katanya, ini kerana Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang mendengar perbicaraan kes liwat itu terkhilaf dalam memutuskan terdapat keraguan ke atas integriti sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful.

Pihak pendakwaan berkata, Mohamad Zabidin sudah membuat penemuan di akhir kes pendakwaan bahawa “male Y” yang diperolehi dari profil DNA yang dianalisis oleh ahli kimia, Dr Seah Lee Hong adalah dari ‘semen extract’ (ekstrak air mani) yang mana berpadanan dengan profil DNA yang diperolehi dari sampel-sampel yang diambil dari lokap yang dihuni dan digunakan oleh Anwar.

Ini adalah antara alasan pihak pendakwaan dalam petisyen rayuan yang difailkan petang Isnin lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang itu daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful.

Dalam petisyen itu pihak pendakwaan mengemukakan 10 alasan.

Pihak pendakwaan berkata, Mohamad Zabidin di akhir kes pendakwaan juga sudah memutuskan bahawa tidak ada jalan untuk pegawai penyiasat, DSP Blacious Judy Pereira, menggunakan sampel-sampel DNA yang diperolehi dari sel lokap itu untuk mengusik sampel-sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.

Ia juga menyatakan bahawa hakim sudah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa dari manakah pegawai penyiasat itu dapat memperolehi sampel air mani yang berpadanan dengan profil DNA yang diperolehi dari sampel-sampel barang-barang yang digunakan oleh Anwar yang diambil dari lokap itu.

Pihak pendakwaan juga berkata bahawa hakim itu sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mendapati terdapat keraguan terhadap integriti sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful sedangkan hakim itu sudahpun memanggil Anwar membela diri terhadap pertuduhan meliwat itu di akhir kes pendakwaan.

“Yang arif hakim sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa pihak pendakwaan sudah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan,” kata pihak pendakwaan.

Ia juga berkata, Mohamad Zabidin sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menilai semula keseluruhan keterangan berkaitan dengan pengutipan, pengendalian dan analisis sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful.

Hakim itu sudah memberi pertimbangan yang salah kepada keterangan-keterangan saksi-saksi pembelaan iaitu Dr David Wells and Dr Brian Mc Donald, yang menyatakan pendapat mereka yang berdasarkan teori-teori yang tidak lengkap dan tidak menyeluruh tanpa mengambil kira teori-teori-teori dan penulisan-penulisan oleh lain-lain pakar yang sudha dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan berkata, hakim itu juga sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menilai kepakaran dan pengalaman Dr Brian dalam pemeriksaan DNA.

Hakim itu juga sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menimbangkan bahawa Dr Seah dan ahli kimia Dr Nor Aidora Saedon sudah memberikan pendapat mereka berdasarkan pemeriksaan dan analisis yang dibuat oleh mereka sendiri ke atas sampel-sampel DNA tersebut berbanding dengan Dr David and Dr Brian yang memberikan pendapat mereka hanya berdasarkan teori-teori sahaja.

“SP5 (Dr Seah) dan (Dr Nor Aidora) SP6 juga sudah mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang ditimbulkan oleh saksi-saksi pembelaan semasa membuat pemeriksaan dan analisis ke atas sampel-sampel DNA tersebut,” kata pihak pendakwaan lagi.

Hakim itu juga sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira bahawa tidak ada keterangan yang menunjukkan mana-mana bekas-bekas sampel DNA yang sudah dimeteri itu dikacau ganggu.

Ini kerana Dr Seah dan Dr Nor Aidora sudah mengesahkan bahawa meteri pada bekas-bekas sampel DNA yang mereka perolehi daripada DSP Judy masih utuh.

Pihak pendakwaan berkata hakim sudha terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira bahawa terdapat lain-lain keterangan yang menyokong keterangan Mohd Saiful sepertimana yang dinyatakan oleh hakim itu dalam penemuannya di akhir kes pembelaan.

Hakim itu sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila meletakkan beban pembuktian yang lebih tinggi dari beban pembuktian melampaui keraguan yang munasabah ke atas pihak pendakwaan dalam membuktikan kes mereka.

“Oleh yang demikian, perayu memohon kepada mahkamah yang mulia ini supaya keputusan yang arif hakim Mahkamah Tinggi dalam melepaskan dan membebaskan responden (Anwar) diketepikan dan responden dengan itu disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” kata pihak pendakwaan.

Pada 2 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyerahkan rekod rayuan, termasuk penghakiman bertulis setebal 80 muka surat untuk memudahkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

Dalam penghakiman bertulis itu, Mohamad Zabidin memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful.

Katanya, sampel berkenaan boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis. Oleh yang demikian adalah tidak selamat bagi mahkamah bergantung kepada keputusan ujian DNA yang dilakukan oleh Dr Seah terhadap sampel berkenaan.

Pada 9 Januari, Mohamad melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar, 65, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s