JALUR GEMILANG ‘TEWAS’ KEPADA BENDERA POLITIK

 

HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan.

Seperti diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya. Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat ‘habuan’ untuk beraya, peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang berkemampuan turut mendapat pelbagai bantuan.

Ramai juga yang berpeluang berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.

Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan kemerdekaan yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang dinikmati.

Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan depan.

Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.

Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga ‘menyembah’ bumi ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur Gemilang.

Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan? Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka menjelang hari raya nanti.

Suasana tentunya lebih ceria dengan rumah yang dihiasi lampu berwarna warni atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau dapat….kibarkan, kalau tak dapat…tak apa, biar orang lain kibarkan.

Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu kemudian sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

– UTUSAN MALAYSIA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s