MIC KEKAL DI SUNGAI SIPUT

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta semua pihak agar menghentikan spekulasi parti mana yang akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, ini kerana sudah lebih 30 tahun dan menjadi tradisi kerusi Parlimen Sungai Siput ditandingi oleh Presiden MIC.

“Setakat ini, kerusi Parlimen Sungai Siput akan kekal menjadi milik MIC,” katanya.

Katanya, persetujuan telah dicapai hasil perbincangan dalam BN sendiri dan tidak timbul masalah sama ada mahu mengekal atau menukar parti yang bertanding untuk kerusi parlimen tersebut.

Zambry berkata,  perkara yang harus diutamakan dalam hal tersebut ialah untuk memastikan calon BN yang bertanding di kerusi parlimen tersebut mampu memenangi undi majoriti pada pilihan raya akan datang.

“Apa yang paling penting kita kena pastikan calon menang kerana kali ini kita pertaruhkan BN apabila kita meletakkan calon MIC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Sungai Siput, hari ini.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak menyeru pemimpin baik dari UMNO ataupun parti Gerakan tidak melihat parti yang bertanding semata-mata tetapi melihat dari konteks BN itu sendiri.

“Jangan kita lihat apabila calon BN dari MIC yang bertanding maka parti komponen yang lain tidak mahu sokong kerana apa yang penting calon itu mewakili BN,” tegas beliau.

Beliau menambah perbincangan teliti akan diadakan bersama Perdana Menteri dan juga Presiden MIC sendiri sebelum pengumuman calon dibuat kelak.

Leave a comment