IKLAN TUTUP AURAT, DAP BUAT LAPORAN POLIS

Guan Aik (kiri), Mohd Azam dan Chee (dua, kanan)

Guan Aik (kiri), Mohd Azam dan Chee (dua, kanan) menunjukkan laporan polis dan laporan akhbar berkenaan.

ALOR SETAR – DAP Kedah membuat laporan polis mengenai laporan sebuah akhbar yang didakwa memutarbelitkan kenyataan pengerusinya, Lee Guan Aik mengenai isu model bukan Islam berpakaian sopan pada papan tanda iklan.

Guan Aik berkata, laporan tajuk utama dan isi kandungan akhbar berkenaan bercanggah dengan kandungan yang disiarkan dalam media lain dengan tidak melaporkan kenyataan sebenarnya ketika sidang media Ahad lalu.

Beliau berkata, tajuk laporan media berkenaan turut memberi gambaran yang berniat jahat dengan maksud untuk memfitnah seolah-olah DAP dan beliau adalah anti Islam serta membangkitkan isu sentimen kaum termasuk agama.

“Maksud kenyataan yang disiarkan itu bukan sahaja mengelirukan pihak tertentu tetapi orang Melayu dan umat Islam.

“Laporan polis ini untuk menjaga keselamatan saya dan ahli DAP di negeri ini kerana khuatir boleh mendatangkan bahaya jika berlaku sesuatu kerana ia berkaitan dengan isu agama serta kaum,” katanya kepada media di pejabat DAP Kedah di sini, semalam.

Hadir sama, ahli majlis yang juga ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Alor Setar, Vincent Chee dan Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Alor Setar, Mohd Azam Awang.

Menurutnya, perkara itu bukan isu politik tetapi lebih kepada isu moral namun dipolitikkan melalui media.

“Tajuk pada akhbar berkenaan seolah-olah sengaja mahu memburukkan nama DAP dan ada niat tak betul. Namun saya yakin ini tidak akan menjejaskan kesepakatan kami dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Saya nafi apa yang tersiar dalam akhbar berkenaan kerana tidak benar. Mereka perlu tampil mohon maaf terhadap laporan itu,” katanya.

Menurutnya dalam masa yang sama, beliau akan mendapatkan pandangan peguam dari DAP sama ada perlu membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Kelmarin, sebuah akhbar dipetik berkata, DAP tidak sekali-kali membenarkan undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri ini termasuk garis panduan papan iklan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Guan Aik dilapor berkata, DAP membantah garis panduan itu yang antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan bertudung jika beragama Islam manakala model bukan Islam perlu berpakaian sopan.

Pada sidang media itu, DAP menyelar MCA Kedah yang disifatkan sengaja memutar belit kenyataan Datuk Bandar berhubung perkara sama apabila Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew menyindir MBAS yang dikatakan mengikut jejak Kelantan dalam melaksanakan ketetapan berhubung papan iklan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s