ISYTIHAR PERANG DENGAN MALAYSIA …JAMALUL KIRAM PERLU DITANGKAP!

Jamalul Kiram III – foto REUTERS

LAPORAN dari Filipina pada Isnin, 18 Mac menyebut yang Jamalul Kiram III telah mengarahkan para soldadunya di Sabah supaya melancarkan perang gerila ke atas Kerajaan Malaysia.

Arahan tersebut samalah seperti mengisytiharkan perang ke atas sebuah kerajaan yang sah lagi berdaulat seperti Malaysia oleh sekumpulan warga asing.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat sepertimana juga Malaysia, Kerajaan Filipina wajar menangkap Jamalul Kiram III dan membicarakannya kerana mengisytihar perang gerila ke atas sebuah negara jiran yang merdeka.

Akhbar-akhbar Filipina memetik Jamalul melalui satu sidang akhbar sebagai berkata, “mereka (pengikut-pengikutnya di Sabah) sudah pun berada di tanah air (Sabah) mereka sendiri, jadi kenapa harus pulang ke sini (Filipina).”

Kata-katanya itu amat jelas sekali menunjukkan pendiriannya mengenai Sabah tidak berganjak dan juga secara terang-terangan mahu mengambil semula Sabah secara paksaan.

Kata Jamalul Kiram lagi, pengunduran bala tenteranya dari bumi Sabah bukanlah satu opsyen.

Sebaliknya Jamalul mahu mereka melancarkan gerakan gerila ke atas pasukan keselamatan Malaysia.

Jamalul menyatakan ini semua secara bebas dan terbuka di kediamannya di bandar Taguig di pinggir Manila bersama-sama isterinya yang dikenali sebagai Hajah Celia Kiram.

Dalam beberapa siri sidang akhbarnya sebelum ini, Jamalul Kiram sering kali muncul bersama-sama anak perempuannya.

Raja Sulu yang tidak diiktiraf oleh negaranya sendiri itu juga acap kali mengadakan sidang akhbar berlatar belakangkan logo besar ‘kerajaannya’ yang tidak wujud yang tertera perkataan “The Sultanate of Sulu and North Borneo”.

Raja ini hidup dalam dunia khayalan yang dia masih memiliki sebuah kerajaan dan empayar yang suatu ketika dahulu telah ‘dipajak’ oleh nenek moyangnya sendiri iaitu pada 22 Januari 1878 kepada satu syarikat Inggeris yang berpangkalan di Hong Kong.

Kini dia mengisytiharkan perang ke atas Malaysia dan dia nampaknya bebas mengisytiharkan langkah itu tanpa sebarang tindakan diambil oleh kerajaan negaranya sendiri.

Jika di Malaysia, ada seorang yang ‘gila’ kuasa mengisytiharkan perang ke atas Singapura, Indonesia, Thailand mahupun Filipina, nescaya orang itu akan segera ditahan oleh pihak berkuasa kerana perbuatannya boleh mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan serantau.

Tetapi di Filipina, iaitu sebuah negara dengan gugusan 7,107 buah pulau berselerakan sejauh 1,850 kilometer dari utara hingga ke selatan sudah pastinya berhadapan dengan isu serta dilema kawalan dan penguatkuasaan undang-undang.

Di Wilayah Sulu dengan pulau terbesar iaitu Tawi-Tawi dan pulau paling hampir dengan Malaysia hanya terletak pada jarak 14 kilometer sahaja, sesiapa pun nampaknya bebas membawa rifel, sub-mesingun, pistol mahupun senjata moden seperti M-16 tanpa ditahan atau diperiksa oleh pihak berkuasa tempatan.

Hidup sejak berabad lamanya tanpa kawalan undang-undang membuatkan mereka berasa mereka bebas keluar masuk ke Sabah dengan gaya hidup yang serupa.

Tapi Jamalul Kiram III yang mendakwa dia adalah pewaris Sultan Sulu yang sah tidak sepertimana soldadunya, bermastautin di pinggir Manila iaitu ibu kota Filipina.

Oleh yang demikian, kita di Malaysia berasa hairan mengapa kerajaan Filipina yang juga berpusat di Manila tidak dapat melakukan sesuatu untuk menahan dia daripada terus mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara ini.

Untuk rekod, sejak para militan Sulu ini mendarat di Sabah pada 9 Februari lalu, dalam usaha dan kepercayaan mereka untuk menuntut Sabah dari tangan Malaysia bagi pihak Jamalul Kiram III, secara kekerasan, pihak keselamatan Malaysia telah membunuh 62 orang daripada mereka.

Manakala pasukan keselamatan Malaysia kehilangan 10 anggota – lapan anggota polis dan dua tentera. Gerakan untuk merampas semula Sabah dari Malaysia secara perang gerila ini diketuai oleh adik kepada Jamalul Kiram III, Azzimudie Kiram.

Kedudukan Azzimudie masih menjadi tanda tanya dengan pihak berkuasa Malaysia mempercayai yang dia telah berjaya meloloskan diri dan meninggalkan Malaysia manakala Jamalul Kiram mendakwa adiknya itu masih berada di Sabah untuk meneruskan arahan terbarunya iaitu lancarkan serangan gerila ke atas Sabah.

Jamalul Kiram III mendakwa pasukan tenteranya di Sabah kini berjumlah 170 orang dan tidak akan dibenarkan kembali melainkan melancarkan serangan gerila.

Dengan itu juga, kita di Malaysia wajar menekan Kerajaan Filipina supaya menahan Jamalul Kiram III kerana kita merasakan keselamatan kita semua di Malaysia kini semakin terancam oleh arahannya yang terbaru itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s