WASPADA IDEOLOGI HAK ASASI MANUSIA (HAM)

Kita perlu berwaspada dan menyaring dengan teliti prinsip-prinsip yang terkandung di dalam ideologi Hak Asasi Manusia (HAM). Ideologi dan gerakan HAM semasa yang secara relatifnya agak baru di dalam sejarah manusia dilatari oleh pengalaman sekular tamadun Barat yang bersandarkan pemisahan agama dan pemerintahan. Negara-negara Barat juga mengalami trauma yang dahsyat selepas Perang Dunia Kedua yang berakhir pada 1945. Akibat dari kegagalan mengawal nafsu mereka membunuh nyawa orang-orang awam di dalam perang tersebut, serta akibat sifat bongkak dan takabbur mereka mengadakan perlumbaan merebut kuasa dan mendominasi dunia, maka mereka berselindung di sebalik perisytiharan-perisytiharan HAM tertentu bagi memaksakan manifestasi nilai buruk tamadun mereka ke atas masyarakat dunia.

Individu yang bertanggungjawab menulis deraf Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Charles Habib Malik, seorang pemikir Kristian berbangsa Lubnan, kemudiannya adalah orang yang sama di sebalik gerakan Phalangist yang membunuh sejumlah besar masyarakat awam Sabra dan Shatila di Palestin pada tahun 1982. Adakah dengan sikap dan tindakan hipokrasi ini, kita masih boleh redha dengan nilai-nilai dan tindakan di dalam ideologi HAM yang cuba digembar-gemburkan para aktivis ideologi ini, sama ada di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mahupun di dalam Negara kita?

Begitu juga umum mengetahui sikap hipokrit Amerika Syarikat yang telah memujuk Israel untuk menyertai semula proses Semakan Berkala Sejagat, (Universal Periodic Review – UPR) Majlis Hak Asasi Manusia PBB setelah memboikot dan berundur dari proses tersebut seketika pada bulan Januari 2013 lalu akibat tidak tahan dengan tekanan-tekanan daripada Negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab serta beberapa organisasi HAM utama, termasuk Amnesty International berhubung kekejaman mereka terhadap masyarakat awam Palestin. Sikap Israel ini bukan sahaja mendedahkan sifat bongkak mereka terhadap Majlis Hak Asasi Manusia PBB, tetapi menjadi bukti kukuh betapa ideologi dan tindakan HAM sebenarnya bukanlah suatu ideologi yang sempurna sehingga semua Negara-negara anggota perlu mengikut nilai-nilai yang diisytiharkan agar dapat dikategorikan sebagai ‘memenuhi piawaian’ HAM sejagat.

Di peringkat pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pula, wujud sikap Negara-negara yang menjunjung secara membuta tuli nilai-nilai HAM beracuankan ideologi liberal sekular barat melalui tuntutan-tuntutan kebebasan bersuara (freedom of expression) tanpa batas dan hak –hak Lesbian, Gay, Bisexual & Transgender (LGBT). Hal ini jelas terjadi melalui kempen dan lobi secara agresif untuk memasukkan klausa bagi mengiktiraf budaya seks songsang tersebut ke dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) pada bulan November 2012 semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh. Semasa sesi rundingan masyarakat sivil mengenai deraf Perisytiharan tersebut di Manila, Filipina pada bulan September 2012, ternyata yang mendominasi percaturan gerakan tersebut adalah golongan NGO HAM minoriti yang mahukan hak mutlak membudayakan amalan songsang kaum Nabi Luth itu diizinkan dengan meluas di kalangan masyarakat ASEAN. Pada mereka, oleh kerana sekurang-kurangnya 10 negara-negara di seluruh dunia yang telah mengiktiraf perkahwinan sejenis sebagai satu lagi kategori institusi perkahwinan yang sah, maka Negara-negara di ASEAN perlu mengikut budaya dan hak tersebut demi mencapai penanda aras Negara maju dan progresif di dalam aspek-aspek HAM.

Apakah yang dapat kita pelajari dari ketiga-tiga fakta tersebut di atas? Setiap kali pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) menyatakan kekhuatiran serta bantahan mereka tentang perkara-perkara yang melanggar batas Islam dan budaya tempatan akibat dari keghairahan NGO-NGO HAM membuat tuntutan-tuntutan mereka, maka NGI akan dilabel sebagai bermentaliti tertawan (siege mentality), bersikap ekstrem, ketinggalan, tidak progresif dan pelbagai lagi momokan negatif lagi menyakitkan hati. Para NGI dan umat Islam yang menegaskan bahawa Islam terancam akan dikatakan ketakutan tidak berasas dan diperolok-olokkan dengan dikatakan bahawa Islam itu tidak memerlukan perlindungan daripada sesiapa. Namun begitu, melihat pada kebiadaban para aktivis HAM membuat tuntutan-tuntutan mereka di pelbagai pentas khususnya yang berkaitan dengan PBB, maka pada hakikatnya merekalah yang sebenarnya mempunyai minda tertawan, ketinggalan serta tidak progresif oleh kerana pada hakikatnya mereka ingin bebas dari panduan hidup beragama serta budaya luhur semata-mata. Malah, sikap mereka tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan minoriti yang mendesak HAM tanpa batas tanpa memikirkan realiti agama, budaya serta latarbelakang sejarah sesuatu Negara, oleh kerana terselindung di sebalik kegiatan mereka, agenda sekular liberal yang mencengkam ideologi HAM tersebut.

Di Malaysia, aktivis-aktivis HAM ini menjadi bertambah kuat dan berani oleh kerana wujud sokongan daripada kalangan segelintir para pemimpin Muslim, khususnya pemimpin politik yang keliru dengan kefahaman agama mereka akibat dari kerangka sekular yang dianuti. Mereka juga terlalu ghairah menyanjung ideologi HAM untuk mengangkat diri mereka sebagai juara isu dan permasalahan rakyat. Khususnya bermula semenjak tahun 1999, ramai di kalangan pemimpin politik ini merupakan aktivis jalanan serta semakin berjinak-jinak dengan gula-gula pendanaan asing yang diberikan melalui pelbagai bentuk wacana, latihan kepimpinan serta zamalah kesarjanaan berkaitan HAM, demokrasi dan kebebasan. Yayasan-yayasan serta NGO-NGO Barat dengan begitu deras memasuki lanskap aktivisme Negara pada ketika itu bagi melatih anak-anak muda yang terpengaruh bahawa Malaysia perlu ‘lebih demokratik’ dan ‘bebas’ kerana kerajaan pada ketika itu zalim, terkebelakang serta tidak mengangkat HAM mengikut acuan Perisytiharan HAM Sejagat (UDHR).

Pada hakikatnya, NGO-NGO HAM tersebut menjadikan gerakan menyebarkan ideologi dan tindakan mereka sebagai suatu sumber pendapatan melalui akses dana dari dalam dan luar negara. Kewujudan dan survival mereka sebagai NGO (walaupun banyak yang tidak berdaftar ataupun berdaftar sebagai syarikat sendirian berhad) sebenarnya bergantung pada kemampuan mereka merekayasa tuduhan-tuduhan pelanggaran HAM di pihak kerajaan. Kejayaan mereka mewujudkan situasi-situasi pelanggaran HAM ini menjadi justifikasi untuk mereka terus hidup atas bantuan dana yang kononnya memperjuangkan HAM, demokrasi dan kebebasan di Negara-negara bukan Barat. Yang terkini, kita boleh melihat betapa Gabungan NGO-NGO Malaysia di dalam Proses UPR (COMANGO) (yang hanya mempunyai 12 NGO berdaftar daripada kira-kira 54 ahli gabungan) juga berkeupayaan bergerak secara aktif menyebarkan ideologi batil ini di merata pelusuk dunia, memburukkan kedudukan Islam di Malaysia melalui pelbagai tuntutan tidak munasabah serta memberikan persepsi yang kurang tepat mengenai realiti sebenar HAM di Malaysia. Hal ini mewujudkan persoalan yang besar tentang dokongan dana yang diperolehi golongan ini untuk melaksanakan strategi-strategi melobi di dalam dan di luar Negara.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, para pimpinan akitivis HAM tersebut mula memenuhi koridor kekuasaan apabila ada di antara mereka yang memenangi kerusi-kerusi Pilihanraya Umum, lalu menduduki beberapa kerusi di dalam Dewan-dewan undangan Negeri dan Dewan Rakyat sebagai wakil-wakil rakyat. Kini, penyebaran ideologi mereka menjadi lebih berkesan oleh kerana, selain dari mempunyai suara di dalam Dewan-dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, mereka terus diperkasakan dengan kerangka HAM di dalam perbahasan-perbahasan di Parlimen dan DUN sebagaimana yang telah mereka gunakan semasa mereka mengelirukan masyarakat melalui perjuangan jalanan mereka sebelum ini. Corak dan orientasinya sama. Isu-isu dan metodologinya juga sama, yakni berakar-umbikan ide-ide yang terkandung di dalam ideologi sekular liberal dan HAM antarabangsa seperti dicetuskan pembunuh yang bernama Charles Habib Malik, sikap hipokrit seperti Israel di sesi UPR, dan tindakan-tindakan melobi seperti golongan pro-seks songsang di peringkat ASEAN.

Aktivis-aktivis HAM inilah sebenarnya yang bermentaliti tertawan, tidak progresif dan ekstrem. Mereka selama ini pada asalnya menyorok dan berselindung sebagai golongan minoriti dan takut untuk menuntut hak-hak mereka yang batil. Tetapi oleh kerana mereka berfahaman ideologi batil berlabelkan HAM melalui UDHR serta pelbagai triti dan konvensyen PBB, dan diperkuatkan oleh sokongan daripada segelintir kalangan pemimpin politik Muslim sendiri, maka mereka semakin berani menyerlahkan tuntutan mereka dan berjaya memposisikan perjuangan mereka sebagai perjuangan arus perdana, sambil mengenepikan perjuangan menegakkan yang hak, mencegah kemungkaran. Oleh yang demikian, untuk mengalihkan perhatian masyarakat, setiap kali NGI bersuara menegakkan amar ma’ruf dan mencegah kemungkaran, maka NGI yang akan dilabel dan diberi stereotaip media barat sebagai tidak progresif, terkebelakang dan ektremis.

Adakah NGI harus membiarkan arus kebatilan ini terus mencipta arus perdana di dalam Negara kita? Pada hakikatnya, NGI sangat bertuah oleh kerana Malaysia mempunyai ketetapan yang jelas berhubung status agamanya, seperti yang dimaktubkan di dalam Perkara 3(1) dan Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan sumpah Yang DiPertuan Agong untuk sentiasa memelihara kesucian Islam sebagai agama negara ternyata merupakan senjata paling ampuh yang membuka ruang seluas-luasnya untuk Malaysia menzahirkan model perlaksanaan Islam terbaik yang dapat ditawarkan kepada dunia. Kemantapan hakikat ini diperkukuhkan dengan insititusi-institusi seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Majlis-majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Mahkamah-mahkamah Syari’ah yang berfungsi menjalankan pentadbiran undang-undang secara sistematik dan wujud ruang untuk diperbaiki demi melihat undang-undang Islam terlaksana secara sepenuhnya. Maka senjata-senjata sebegini sangat perlu difahami para pejuang NGI di dalam menentang kebatilan ideologi HAM.

Malah, kedudukan ini semakin diperkukuhkan dengan keputusan terkini Mahkamah Rayuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri & 8 Lagi lawan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2013 lalu. Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Haji Mohamed Apandi bin Haji Ali menegaskan bahawa aspek “fundamental liberties” atau kebebasan asasi, adalah tertakluk pada Perkara 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada muka surat 28 di dalam penghakiman bertulis bagi rayuan tersebut, Yang Arif menyatakan: ‘It is my judgement that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and harmony” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat faced or any possible and probable threat to the religion of Islam.”. Walaupun agama-agama lain boleh diamalkan di Negara ini sebagai suatu hak asasi, namun hak tersebut tidak mutlak dan tertakluk pada syarat diamalkan dengan aman dan harmoni; Hak tersebut tidak diperolehi sekiranya menghakis kemuliaan agama Islam sebagai agama yang dipertahankan oleh Perlembagaan Persekutuan. Hakikat ini sangat jelas dan perlu difahami setiap warganegara Malaysia, khususnya yang beragama Islam dan masih mempunyai kesedaran untuk mempertahankan kedaulatan Islam sebagai agama Negara.

Dengan kedudukan Islam yang jelas ini, NGI dapat bergabung dan bertegas apabila menyertai proses-proses lobi di pelbagai peringkat bagi menjelaskan salah faham tentang Islam dan HAM di Malaysia. Beberapa NGI telahpun menzahirkan keupayaan ini apabila melobi untuk menolak hak-hak LGBT dimasukkan ke dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) bulan November 2012. YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak berupaya berdiri tegas menolak untuk menandatangani AHRD sekiranya terdapat klausa mengenai hak-hak LGBT tersebut oleh kerana wujudnya keutuhan kedudukan Islam di dalam bentuk sebegini. Terbukti dengan hakikat Islam sebagai agama persekutuan, dan dengan dokongan NGI yang melobi bagi menentang gejala songsang ini dari diiktiraf sebagai HAM, maka Malaysia berjaya mencapai maksud interaksi positif antara Islam dan HAM yang sebenarnya melahirkan penyelesaian yang sejahtera untuk tamadun manusia.

Hal ini akan terus menjadi relevan apabila Malaysia berdepan dengan pusingan kedua proses Semakan Berkala Sejagat – UPR yang akan berlangsung pada 24 Oktober 2013 di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland. Malaysia perlu membawa senjata ampuh berhubung kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menolak sebarang tuntutan COMANGO yang mengandungi perkara-perkara batil. NGI-NGI pula yang bergabung di bawah MuslimUPRo (Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses UPR) adalah penzahiran kesatuan umat Islam di Negara ini, yang mahukan agar Malaysia yakin dengan jati diri dan keizzahan Islam sebagai suatu cara hidup, tanpa berasa malu dan apologetik untuk melalui sesi semakan HAM hanya semata-mata kerana Malaysia adalah sebuah Negara Islam.

Sebaliknya, Malaysia perlu mendedahkan kemungkaran-kemungkaran melalui tuntutan-tuntutan COMANGO dan menjadikan UPR sebagai platform dakwah dan memperkenalkan Islam dengan cara yang bijaksana dan mampu berinteraksi dengan positif melalui mekanisme-mekanisme HAM. Sudah tiba juga masanya Malaysia mengartikulasi kandungan dan semangat Perisytiharan Kaherah mengenai HAM di dalam Islam tahun 1990 (CDHRI). Malaysia juga perlu mengangkat kemahuan PBB sendiri yang menekankan kepentingan budaya, agama dan realiti sejarah sesuatu Negara di dalam komitmen Negara-negara anggota PBB melaksanakan idealisme UDHR, seperti yang dinyatakan di dalam Perisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993.

Begitu juga, Malaysia perlu menawarkan model tersendiri berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sumber-sumber syari’ah yang muktabar di dalam menangani isu dan permasalahan HAM. Terkait dengan hal ini, pendirian Islam sendiri adalah jelas; yakni mana-mana tuntutan HAM yang mempunyai asas keabsahan (legitimate basis) dan tidak menentang kehidupan beragama dan berbudaya luhur berdasarkan sejarah sesebuah negara, maka komitmen yang tinggi diberikan untuk merealisasikannya. Ini sudahpun terbukti dengan kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) melalui Akta SUHAKAM 1999 dan komitmen Malaysia terhadap AHRD pada tahun lepas. Sebaliknya, instrumen HAM di mana-mana tahap dan institusi sekalipun, sekiranya dijadikan medan manipulasi menolak kehidupan beragama dan kebudayaan, maka perlulah ditolak dengan tegas tanpa khuatir ia akan mengurangkan sedikitpun kedaulatan dan kedudukan Negara di mata dunia. ( Azril Mohd Amin )

AZRIL MOHD AMIN adalah naib presiden, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia merangkap ketua delegasi MuslimUPRo (Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses UPR) ke Geneva, Switzerland.

One thought on “WASPADA IDEOLOGI HAK ASASI MANUSIA (HAM)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s