MAMPUKAH PERSIDANGAN GENEVA II SELESAIKAN KRISIS POLITIK SYRIA ?

Kini seluruh dunia memandang kepada persediaan Persidangan Geneva II yang bakal diadakan pada sekitar 23hb November ini di Geneva, Switzerland. Namun demikian sehingga saatini masih belum dapat dipastikan lagi parapeserta persidangan inibagi mencari satu penyelesaian kepada krisis politik yangmelanda Syria.

Persidangan Geneva II adalah lanjutan daripada Persidangan Geneva I yang diusahakan oleh mantan Setiausaha Agong PBB, Kofi Annan bagi mencari penyelesaian terhadap krisis Syria yang diadakan pada 30hb Jun 2012 di Geneva yang lalu.

Krisis yang melanda Syria ketika ini adalah lanjutan daripada pemerintahan regim Syria yang dari dahulunya dipimpin oleh Presiden Hafez al-Assad selama lebih 30 tahun. Setelahkematian Hafez, regim Syria diteruskan oleh anaknya iaitu presiden Syria sekarang Basher al-Assad.

Konflik pemerintahan secara kuku besi oleh Hafez boleh dianalisa daripada pelbagai sudut. Dari sudut fahaman rakyat Syria, kebanyakan rakyat Syria adalah berfahaman Sunniyang sekitar 84%  dan manakala regim pemerintahan al-Assad adalah berfahaman Syiah dari aliran Alawiyah yang sekitar 6%, manakala selebihnya ialah penganut Kristian sebanyak 10%.

Secara politiknya, rakyat Syria lebih dekat dengan Arab Saudi yang berfahaman Sunni, manakala pihak pemerintah dan keselamatannya berpihak kepada Iran. Maka konflik antara fahaman Sunni dan Syiah telah menjalar kepada konflik politik dan kekuasaan yang lebih kompleks.

Oleh itu Persidangan Geneva II tidak akan berjaya tanpa penyertaan negara-negara yang mempunyai kepentingan di rantau ini yang mewakili fahaman Sunni dan Syiah. Dalam halini, yang nampaknya lebih bersungguh-sunguh ialah Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui utusan khasnya mengenai keamanan Syria iaitu, Lakdar Brahimi sebagai pihak penganjur.

Penyertaan Rusia dan Amerika Syarikat adalah amat penting kerana keduanya mewakili proksi pihak-pihak yang terlibat. Ini kerana Amerika Syrikat dilihat lebih condong kepadanegara-negara yang berfahaman Sunni khususnya Arab Saudi dan Qatar yang merupakan dua negara penyumbang terbesar kepada puak penentang regim al-Assad.

Manakala Russia selama ini juga adalah taukeh sebenar dalam percaturan di Syria dengan membekalkan segala kelengkapan ketenteraan bagi Syria. Rusia juga mempertahankan Syria di PBB daripada dikenakan apa jua tindakan ketenteraan maupun sekatan politik dan sebagainya. 

 Rusia juga mempunyai kepentingan ekonomi dengan Iran yang menyebabkan ketiga-tiga negara ini iaitu Syria, Iran dan Rusia adalah paksi utama dalam pertentangan dengan perluasan kuasa Amerika di rantaui ini.

Selain daripada itu, China sering memihak kepada Syria bersama Rusia terutamanya dalam mempertahankan Syria daripada dikenakan tindakan di PBB. Malah dalam provokasi oleh Amerika Syarikat yang hendak menyerang Syria ekoran serangan senjata kimia oleh regim al-Assad terhadap rakyatnya beberapa bulan lalu,  China telah menghantar kapal pemerhati di Laut Mediterranean yang secara simboliknya menyokong kehadiran armada Rusia bagi mempertahankan kedaulatan Syria.

Akhirnya Amerika Syarikat terpaksa malu sendiri lalu berundur dengan muka yang sedikit tercalar. Kredibiliti Presiden Rusia Vladimir Putin semakin meningkat, sebalik Barack Obama menerima kesan yang bukan sedikit tambahan pula kes penutupan kerajaan Amerika Syarikat selama 16 hari akibat kegagalan kongres meluluskan bajet membuatkan pentadbiran Obama lebih tertekan.

Amerika Syarikat semakin parah kerana acah-acahnya untuk menyerang Syria telah ditempelak oleh Arab Saudi. Kerana sejak diuar-uarkan Amerika Syarikat hendak melancarkan siri serangan ke atas Syria, maka negara-negara yang menyokong puak penentang di Syria khususnya Arab Saudi dan Qatar telah menyediakan berbilion US$ bajet khas untuk tujuan tersebut. Namun Amerika Syarikat mendapat tentangan yang hebat dari blok Rusia.

Ini akhirnya telah menaikan suhu perbalahan antara Riyadh dengan Washington. Ketua perisikan Arab Saudi, Putera Bandar bin Sultan dalam reaksinya telah menyatakan yang negaranya akan membuat “perubahan besar” dalam hubungan dengan Amerika Syarikat lantaran tidak tahan dengan kesabaran serta tindak-tanduk barat terhadap Syria.

Kemarahan Arab Saudi terhadap Washington tidak berakhir di situ, malah Arab Saudi yang telah memenangi undian bagi kerusi tidak tetap di Majlis Keselamatan Bangsa-bangsaBersatu (PBB) bertindak nekad dengan menolak penganugerahan kerusi tersebut walaupun sebelum ini telah melobi untuk mendapatkanya. Malah telah menganggap bahawa Amerika Syarikat telah mula ingin berbaik dengan musuh utamanya iaitu Iran.

Dalam percaturan yang tidak kena, akhirnya Amerika Syarikat terpaksa akur dengan melembutkan Arab Saudi mengatakan bahawa ia hanyalah pergolakan rumahtangga sahaja. Dengan reputasi Amerika Syarikat yang semakin tiada sengat tetapi reputasi Rusia semakin garang maka kita menjangkakan Persidangan Geneva II akan lebih memihak kepada sekutu Rusia. Secara tidak langsung regim Basher al-Assad sudahpun menguasai sebahagian dariapada agenda persidangan ini.

Persidangan Geneva II bakal menemukan regim al-Assad dengan penentang-penentangnya. Regim al-Assad sejak awal-awal lagi telah menyatakan akan menghadiri persidangan ini tanpa sebarang syarat. Sebaliknya puak-puak penentang yang bernaung di bawah Syrian National Coalition atau pun Barisan Kebangsaan Syria sejak awal-awal lagi telah berikrar tidak akan menghadirinya sekiranya regim al-Assad turut serta.

Namun demikian, puak penentang yang berpengkalan terutamanya di Turki dan lain-lain tempat itu tidak pernah bersatu dalam usaha ketenteraan mereka menentang tentera Syria. Malah kebanyakan kawasan yang ditawan oleh puak pemberontak pada awalnya telah dapat ditawan balik oleh tentera Syria. Sebaliknya pula, konflik dalaman dan persengketaan antara puak-puak penentang ini juga telah mencetuskan pertumpahan darah sesama sendiri.

Kini mereka masih tidak dapat satu kepastian sama ada akan turutserta dalam rundingan ini. Manakala Syrian National Counsil yang merupakan puak terbesar dalam Syrian National Coalition pada awal Oktober lepas telah mengisytiharkan akan keluar dari pakatan penentang sekiranya mereka mengambil bahagian dalam persidangan ini.

Untuk mencari satu konsensus dalaman juga agak sukar dilakukan, maka apakah mereka akan berupaya untuk diwakili oleh satu kumpulan yang bersatu semasa persidangan ini nanti ?

Sudah tentu pihak-pihak yang menaja kumpulan-kumpulan ini terutamanya dari Arab Saudi, Qatar dan Turki ingin melihat perubahan yang total dilakukan di Syria. Namun melihatkan kepada ketiadaan kesepakatan kumpulan penentang ini, maka hala tuju Geneva II mungkin akan tersasar daripada matlamatnya. Atau mungkin akan ada Geneva III atau IV.

Tuntutan puak penentang ialah kehadiran regim al-Assad ke persidangan ini ialah dengan persediaan menyerah kekuasaan dan Basher al-Assad meninggalkan kerusi presiden. Namun ketika ini kedudukan Basher al-Assad tidak terjejas walaupun terpalit dengan kes serangan senjata kimia beberapa bulan yang lalu. Bahkan regim al-Assad akan mencari helah dan bersetuju dengan penggubalan satu perlembagaan baru bagi tujuan mengekalkan kuasa.

Sebagai menunjukkan keikhlasannya terhadap pelupusan senjata kimia, maka regim al-Assad telah berkerjasama dengan pihak barat dan PBB bagi tujuan pelupusan itu. Secara tidak langsung, “dosa” al-Assad dalam serangan senjata kimia tersebut seolah-olah “terhapus”. Mulut-mulut penentang al-Assad dan barat telah dikunci.

Di pihak barat juga sebenarnya mahukan satu transformasi terhadap Syria dilakukan secara politik tetapi tidak melalui ketenteraan. Namun acah-acah oleh Amerika Syarikat jugamempunyai agenda tersendiri. Ini kerana ingin mengkotakan “janji” Obama akan menyerang Syria jika benar ia melancarkan senjata kimia. Sebab itu kehadiran armada Amerika Syarikat di Laut Mediterranean dilakukan dengan cara tergesa-gesa tanpa mendapat restu dari rakan-rakannya di Eropah dan jauh sekali mandat dari PBB.

Obama terpaksa “berlakon” seolah-olah benar ingin menyerang Syria. Di samping itu Obama terpaksa bergelut dengan kemungkinan tidak mendapat kelulusan kongres bagi pelan kesihatan Obamacare, disamping menaikan siling hutang negara. Dengan mengalihkan perhatian ke atas perang di Syria diharap kelulusan bajet disegerakan. Namun Obama tersalah langkah.

Di pihak Iran pula telah menyatakan persetujuan untuk hadir “sekiranya diundang”, satu ungkapan yang lebih diplomasi seolah-olah merendah diri. Namun Iran lebih maklum bahawa penyertaannya adalah kunci kepada penyelesaian krisis di Syria. Sebabitulah ia mahu diiktiraf sebagai pihak yang boleh mencaturkan suasana. Malah utusan khas PBB-Liga Arab bagi keamanan Syria, Lakhdar Brahimi dalamkunjungan ke Iran pada bulan lepas telah mengusulkan kehadarian Iran di dalam persidangan ini.

Sebenarnya Persidangan Geneva II sepatutnya diadakan pada pertengahan bulan Mei yang lepas namun ianya tidak menjadi kenyataan. Kerajaan Basher al-Assad juga telah memberikan persetujuan untuk hadir tanpa syarat, namun demikian pada 26hb Julai yang lalu pihak penentang iaitu Syrian National Coalition ataupun Barisan Kebangsaan Syria telah menolak untuk hadir. Mereka memberi syarat Basher haruslah menyerahkan kuasa sebelum diadakan persidangan. Ini menyebabkan persidangan terpaksa ditunda lagi.

Sebelum itu, Setiausaha Agong PBB, Ban Ki-moon telah merapatkan jurang antara Rusia dengan Amerika Syarikat dan mengharapkan kedua-duanya akan hadir dan mencadangkan tarikh bulan Oktober untuk mengadakan persidangan ini.

Namun demikian pada 21hb Ogos telah berlaku kejadian serangan senjata kimia oleh pihak regim Syria dan rentetan itu pula pihak Amerika Syarikat beria-ia hendak menyerang Syria. Ia akhirnya telah merubahkan rancangan asal persidangan dan terpaksa ditunda lagi. 

Qatar yang merupakan penaja utama selain Arab Saudi kepada pihak penentang telah bersungguh-sungguh memujuk agar mereka bersetuju untuk hadir. Begitu juga Menteri-menteri Luar negara-negara Liga Arab yang baru saja menamatkan mesyuarat di Kaherah telah meminta SNC untuk menamakan degelasi ke persidangan itu.

Kini dikhabarkan bahawa, Ahmad Jarba, ketua Syrian National Coalition (SNC) atau Barisan Kebangsaan Syria akan mengadakan perjumpaan dengan anggota-anggota puak penentang sama ada menerima atau menolak pelawaan itu.

Beliau juga mengatakan, pihak SNC akan menghadirinya jika ianya jelas terdapat jangka masa  yang ditentukan bagi Presiden Basher al-Assad untuk berundur. Dalam masa yang sama beliau telah meminta lebih banyak senjata dibekalkan kepada puak penentang.

Mengikut negara-negara yang condong untuk melihat perubahan secara total di Syria dengan mengenepikan Basher ialah Britain, Mesir, Perancis, Jerman, Jordan ,Itali, Qatar, Arab Saudi, Turki, UAE dan Amerika Syrikat. Mereka mengharapkan penubuhan satu kerajaan peralihan. Di pihak SNC juga mahukan kerajaan peralihan ini mendapat kensensus daripada ahli-ahli gabungan puak penentang tetapi tidak merelakan apa-apa peranan dari regim Basher.

Di pihak Rusia melalui Menteri Luarnya, Sergey Lavrov dalam satu kenyataan pada 11hb Oktober yang lalu menyebut bahawa kini adalah masa terbaik bagi barat untuk menerima penyertaan Iran dalam kerangka persidangan ini. Ini merujuk kepada kesediaan Iran untuk berbaik-baik dengan barat terutamanya mengenai kesediaanya dalam rundingan nuklear Iran.

Dalam persidangan ini, Rusia sudah tentu tidak mahu mengalah lantaran ia juga mempunyai kepentingan strategik di rantau Balkan dan Asia Barat. Ini kerana hanya Syria adalah satu-satunya benteng bagi Rusia di kawasan yang sentiasa bergolak ini.

Sejak dari era Perang Dingin di tahun 1950 – 70an, yang melibatkan blok Soviet Union dengan Blok Amerika, rantau ini sentiasa memperlihatkan pertentangan kuasa. Setelahkejatuhan Blok Soviet Union dengan kemerdekaan beberapa negara di dalam kesatuan itu, dan yang hanya tinggal ialah Rusia. Maka Rusia terpaksa memainkan peranan yang lebih aktif.

Dahulunya Mesir yang di zaman Gamal Nasser berkiblat ke Moscow, tetapi apabila Anwar Sadat menjadi Presiden, maka beliau telah mengalih ke Washington. Manakala Libya pulatelah membentuk bloknya tersendiri dan terkeluar dari cengkaman Soviet. Maka yang tinggal ialah Syria sahaja.

Tambahan pula kedudukan Syria tidak jauh dari jangkauan Rusia. Lihatlah betapa mudahnya kehadiran armada Rusia yang berpengkalan di Ukraine di Laut Hitam menuju keLaut Mediterranean dan menghampiri perairan Syria.  Pada ketika itu juga armada Amerika menuju destinasi yang sama ketika memuncaknya ancaman serangan Amerika ke atas Syria.

Melihatkan kepada senario semasa, blok yang mewakili Rusia iaitu Syria dan Iran nampaknya berada dalam kedudukan selesa untuk hadir di persidangan ini. Dengan percaturan oleh regim Basher bahawa mereka sedia untuk berunding tanpa syarat. Ini menyebabkan barat tidak dapat menempelak Basher. Walaupun dipalitkan dengan serangan senjata kimia baru-baru ini, tetapi Basher memberikan kerjasama serta melupuskan kesemua senjata merbahaya itu.

Di pihak penentang pula tidak pernah bersatu kerana mereka masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Tambahan pula kebanyakan daripada mereka adalah sebagai proksi kepada negara-negara yang mebiayai perjuangan mereka seperi Arab Saudi, Qatar dan Turki.

Menyusuri kebangkitan rakyat Syria di tahun 2011, ianya bermula apabila pihak pemerintah menahan 15 orang pelajar sekolah yang membuat contengan mural grafiti di dinding sebuah sekolah di Bandar Daraa yang memaparkan aksi anti kerajaan. Ia kemudiannya disusuli oleh tunjuk perasaan oleh orang ramai. Pihak keselamatan Syria akhirnya telah menembak penunjuk perasaan yang membunuh sekurang-kurangnya empat orang. Ia merupakan mangsa pertama dalam gerakan menentang Basher.

Protes menentang Basher akhirnya merebak ke seluruh negara dan gerakan menentang secara ketenteraan mula digerakan. Dalam bulan Julai 2011, tujuh orang pegawai tenteraSyria telah berpaling tadah dan mengumumkan akan bersama dengan gerakan menentang Basher lalu menamakan diri mereka sebagai Tentera Pembebasan Syria yang keanggotaannya juga terdiri daripada orang awam. Maka penentangan secara gerila secara rasminya telah bermula. Mereka ini bukanlah dari puak jihat Islam tetapi merupakan golongan yang ingin membentuk Syria baru yang moderate.

Lanjutan daripada itu, maka lahirlah beberapa kumpulan kecil yang mempunyai pelbagai latar belakang dan ideologi. Ini termasuklah kumpulan yang cenderung kepada militant al Qaeda yang dikenali sebagai Victory Front. Inilah yang ditakuti oleh pihak barat dalam penyaluran bantuan ketenteraan dan dana.

Kumpulan yang mirip kepada perjuangan Ikhwanul Muslimin adalah kempulan yang lebih berbentuk jihat dan ingin memperjuangan sebuah negara Islam.  Sebahagian daripada mereka juga bukanlah rakyat Syria tetapi pejuang asing yang berjuang atas landasan jihat Islam, seperti yang berlaku di Afghanistan dahulu.

Lain-lain kumpulan juga diterajui oleh bekas penentang politik Basher yang bergerak dari buangan terutamanya dari Turki. Inilah kumpulan terbesar yang mendapat dana serta persenjataan dari Arab Saudi, Qatar dan Turki. Kebanyakan ahli kumpulan ini adalah dari puak Sunni.

Puak penentang ini pula bukan sahaja menjadikan tentera regim Basher sebagai sasaran, malah juga memerangai militant Syiah Hezbollah yang didatangkan dari Lubnan di mana puak ini dipersenjatakan oleh Iran. Kumpulan ini yang diketuai oleh Hassan Nasrallah merupakan fraksi militia utama di Lubnan yang mencorakkan pentadbiran Lubnan hari ini.

Tamparan paling hebat bagi pihak penentang yang berlaku dalam seminggu ini ialah peletakan jawatan pemimpin Revolutionary Military Council di Aleppo iaitu Kol. Abdul Jabbar al-Okaidi yang merupakan puak penentang yang mendapat bantuan persenjataan dan dana dari barat. Beliau menempelak ketiadaan persefahaman antara puak penentang dan kekurangan bantuan barat menyebabkan kekalahan demi kekalahan di pihak penentang di tangan tentera kerajaan Basher.

Atas inisiatif untuk menumbangkan regim Basher, walaupun mereka telah membentuk apa yang dinamakan sebagai Syrian National Coalition ataupun Barisan Kebangsaan Syria. Namun kelemahan mereka ialah tanpa mempunyai struktur militari yang teratur serta komandan perang yang berupaya menyatukan kesemua ketumbukan.

Melihatkan kepada senario ini, walaupun dunia mengharapkan satu penyelesaikan yang konkrit terhadap krisis di Syria, tetapi memandangkan terlalu banyak ranjau yang perlu ditempuhi serta perbezaan yang amat jauh antara pihak-pihak yang terlibat, maka apakah Persidangan Geneva II akan membuahkan hasil ?

Pada analisa saya, tidak banyak keputusan positif yang akan diperolehi dalam persidangan ini. Namun ia akan menjadi satu platform untuk semua pihak mencari satu pendekatan yang lebih dekat dan jitu.

Di pihak regim Basher akan terus berkuasa tetapi mendapat tekanan antarabangsa bagi melakukan perubahan drastik politik serta perubahan perlembagaan dengan penyertaan yang lebih luas dari kalangan puak penentang. Kemungkinan satu kerajaan campuran yang lebih demokratik diperlukan oleh rakyat Syria.

Di pihak penentang pula akan terus melancarkan serangan namun lama-kelamaan ianya akan disusuli oleh gencatan senjata dan pembubaran kumpulan militia ini. Satu penyusunan gerakan yang lebih terarah kepada penyelesaian politik akan mengambil tempat.

Ini memandangkan gerakan persenjataan di Syria tidak seperti di Palestin khususnya oleh pihak Hamas yang menentang Israel. Di pihak Hamas mempunyai struktur militeri yang teratur dan jelas perjuangan jihat mereka adalah untuk menegakkan sebuah negara yang dijajah. Tetapi keadaan di Syria adalah sebaliknya kerana ia adalah satu penentangan sebuah kerajaan yang sah tetapi berbentuk diktator serta penentangan fahaman antara Sunni dan Syiah.

Di sebalik Persidangan Geneva II yang membincangkan hala tuju politik negara, ia juga akan membawa agenda pelarian Syria di negara-negara Jordan, Turki, Lubnan, Iraq bahkan yang telah melarikan diri ke negara-negara yang lebih jauh. Kesemuanya ditaksirkan berjumlah lebih 2 juta orang. Ini tidak termasuk kemusnahan harta-benda dan kehilangan nyawa beribu-ribu rakyatnya dalam konflik perang saudara ini.

Bagaimanapun kita masih mengharapkan yang terbaik untuk keamanan di rantau ini dan usaha-usaha diplomatik bagi mencari perdamaian yang berkekalan serta proses membina kembali negara selepas perang saudara. Begitu juga persengketaan antara Sunni dan Syiah dapat diredakan demi  kesejahteraan umat Islam sejagat.

Ditulis oleh : Hisemudin Kasim

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s