NEGARA BOLEH BANKRAP KERANA GST ???

KDNK 2

MEMBACA kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang negara akan bankrap jika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan menimbulkan banyak persoalan, terutama apabila GST bukanlah satu-satunya sumber pendapatan negara.
Pendekatan mudah (simplistik) digunakan Najib mungkin boleh mencetuskan panik dalam negara, sekali gus memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi jika kenyataan beliau tidak difahami secara mendalam oleh rakyat.

Najib berkata, jika Malaysia tidak melaksanakan GST untuk mendapatkan pendapatan tambahan, kerajaan akan terpaksa meminjam lebih banyak wang dari luar sehingga akhirnya tidak mampu membayar hutang.

Menurut Ketua Penyelidikan, Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara Prof Dr Shazali Abu Mansor, apabila GST dilaksanakan, pendapatan negara mungkin akan meningkat lebih kurang RM20 bilion hingga RM30 bilion.

Adakah RM20 bilion hingga RM30 bilion dapat menyelamatkan negara daripada bankrap, sedangkan perbelanjaan tahunan kerajaan mencecah ratusan bilion ringgit setahun, seperti yang dapat dilihat dalam pembentangan bajet setiap tahun?

Shazali juga berkata pelaksanaan GST tiada kaitan dengan bankrap kerana ia perkara yang berbeza.

Pada pendapat beliau, GST akan lebih memantapkan ekonomi memandangkan cukai itu akan diperoleh secara berterusan jika dibandingkan dengan pendapatan kerajaan yang diperoleh melalui penjualan minyak dan kelapa sawit.

Rasuah penyebab Greece bankrap?

Jika dilihat kes-kes negara yang pernah bankrap sebelum ini, tidak ada yang dikaitkan dengan masalah cukai tetapi masalah utama adalah hutang terlalu tinggi kerana kelemahan pengurusan kewangan.

Contoh paling mudah dan paling terkini adalah Greece, negara yang turut melaksanakan sistem cukai serupa seperti GST atau dikenali cukai nilai tambah (VAT) pada kadar antara 4.5 peratus dan 23 peratus.

Menurut seorang penulis dari fakulti ekonomi di Universiti Glasgow, Scotland, iaitu antara universiti terkemuka dalam bidang ekonomi, masalah utama menyebabkan Greece diisytiharkan bankrap pada 2011 adalah rasuah.

“Wang yang begitu banyak telah disalah guna atau masuk ke poket yang salah. Kos pembangunan infrastruktur dilaporkan tiga, empat malah enam kali lebih mahal berbanding kos sama di negara Eropah lain.

“(Kos ini tinggi) adakah kerana Greece negara yang mahal? Tidak. Tetapi untuk mendapat projek besar, anda perlu memberi bayaran istimewa,” menurut penulis itu dalam satu majalah terbitan universiti tersebut.

Pandangan peribadi penulis itu disokong Indeks Persepsi Rasuah 2012 keluaran Transparency International di mana Greece adalah negara paling korup antara 27 negara Kesatuan Eropah.

GST bukan satu-satunya faktor bankrap

Pendapat Shazali bahawa rasuah dan pembaziran perlu dihapuskan seiring dengan pengenalan sistem cukai yang lebih cekap seperti GST membuktikan ada banyak dimensi lain dalam isu ini berbanding hanya mengharapkan GST menjadi penyelamat negara.

Pihak pembangkang mahukan kerajaan menyelesaikan masalah rasuah, pemborosan, pembaziran dan ketirisan yang dianggap sebagai penyebab utama sesebuah negara bankrap.

“Sekiranya isu ini tidak diselesaikan, isu bankrap akan terus menjadi risiko kepada negara dengan pelaksanaan GST ataupun tidak,” menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua seperti dilaporkan media.

Jika ditolak keluar politik daripada persamaan matematik ini sekali pun, terbukti pengurusan kewangan yang lemah adalah penyebab utama kemerosotan keyakinan pelabur luar yang boleh membawa kepada bankrapsi.

Buktinya, firma penarafan antarabangsa Fitch Ratings tetap mengekalkan pandangan negatif terhadap Malaysia sementara menunggu pengurusan bajet yang baik selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST pada pembentangan Bajet 2014, bulan lalu.

Firma itu mengakui GST adalah perubahan penting yang boleh mengukuhkan taraf kredit Malaysia dengan memperluas perolehan kerajaan dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum.

“Namun kami akan lihat rekod pelaksanaan untuk mencapai sasaran mengurangkan hutang jadi taraf (Malaysia) kekal negatif,” menurut firma itu dalam satu nota, bulan lalu.

Sinar Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s