TUN HANIF OMAR BUTA SEJARAH ?

Sebagai warganegara Malaysia yang lahir dalam era yang ditakrifkan sebagai ‘Zaman Kedua’ oleh Tun Hanif Omar, mantan Ketua Polis Negara dalam ucapan beliau pada 8 Disember 2013 sempena Jamuan Teh Diraja Bersama Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia Sempena Ulangtahun ke-68 Sultan Selangor, penulis terpanggil untuk memberi sepatah dua ulasan khususnya terhadap beberapa hujah yang pada pendapat penulis merupakan ketidaktepatan malah penyelewengan fakta yang perlu diperdebatkan dan diberi penjelasan.

Namun, ingin ditekankan di sini bahawa penulis bukan pakar bertauliah atau sarjana dalam bidang sejarah atau politik tetapi sekadar seorang warganegara yang mengikuti perkembangan politik dan hal elwal semasa serta meneliti  sejarah tanah air secara objektif.

Pertama, penulis ingin menyentuh hujah yang mendakwa bahawa “Daripada segi undang-undang, Britain tidak pernah menjajah negeri-negeri Melayu melainkan dalam tempoh kurang dua tahun yang dinamakan Malayan Union di antara April 1946 dan Februari 1948” dalam era pra-Merdeka yang Tun Hanif Omar takrifkan sebagai ‘Zaman Pertama’.

Sebelum kita cuba meninjau lebih mendalam lagi, sangat besar manfaatnya sekiranya kita cuba teliti definisi penjajahan dan beberapa terma berkaitan yang lain.

Umumnya, sesebuah negara atau wilayah dikatakan dijajah apabila sistem politik atau pentadbirannya dikawal oleh suatu negara, kuasa atau bangsa lain setelah ditakluki menerusi kaedah kekerasan khususnya ketenteraan ataupun diambil alih menerusi pelbagai kaedah bukan agresif atau aman. Secara lazimnya, negara atau wilayah yang ditakluki melalui cara agresif dipanggil koloni manakala negara atau wilayah yang dijajah melalui kaedah lebih aman dianggap sebagai protektorat atau negara/wilayah naungan walaupun bukanlah sesuatu yang asing bagi suatu kawasan atau wilayah yang diambil alih pentadbirannya secara aman bertukar status menjadi koloni jika ditelusuri sejarah beberapa empayar.

Antara matlamat mana-mana penjajah memperluaskan kawasan/empayar dan mengembangkan kekuasaan di luar batas negara asalnya termasuk mencari dominasi ekonomi atau punca kekayaan sama ada sumber asli dan bahan mentah seperti bahan galian, tenaga, hasil pertanian, perikanan dan perhutanan; tenaga kerja; pasaran perdagangan dan nilai niaga di samping penempatan baharu, ideologi politik dan unsur keagamaan. Malah, menjadi lumrah bagi penjajah menggunakan legitimasi moral, politik dan agama sebagai justifikasi untuk menjajah.

Lazimnya, sebuah negara atau wilayah naungan menikmati suatu bentuk autonomi dalam beberapa bidang tertentu meskipun ia dilindungi oleh negara atau entiti lain dalam aspek diplomatik atau ketenteraan daripada serangan atau pencerobohan pihak ketiga. Sebagai timbal balas bagi perlindungan ini, negara naungan perlu melaksanakan satu set kewajiban terhadap negara pelindung.

Disebabkan kebergantungan dan kewajiban terhadap negara pelindung ini, negara naungan tidak mempunyai kedaulatan menyeluruh dalam erti kata sebenar dan masih tertakluk dalam konteks penjajahan. Meskipun istilah penjajahan dan imperialisme sering digunakan bersilih ganti, lazimnya diterima pakai bahawa penjajahan merupakan satu bentuk penguasaan fizikal dan jelas melalui pengaruh politik manakala imperialisme merupakan penguasaan politik atau ekonomi bersifat lebih umum sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Terdapat lima sub-kategori yang didefinisikan sebagai bekas tanah jajahan British dalam Malaysia yang wujud pada hari ini iaitu:

(a) Straits Settlements atau Negeri-Negeri Selat (NNS) yang dibentuk pada 1826 di bawah British East India Company dan menjadi Koloni Mahkota British pada 1867 termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Singapura (yang kemudiannya diusir daripada Malaysia pada 1965);

(b) Federated Malay States atau Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) yang dibentuk pada 1895 termasuk Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang;

(c) Non-federated Malay States atau Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) termasuk Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor;

(d) Sarawak sejak 1841 di bawah dinasti Brooke; dan

(e) Sabah sejak 1882 di bawah British North Borneo Company dan kemudiannya menjadi protektorat British North Borneo sejak 1888.

Sebelum Merdeka, tiga sub-kategori yang pertama dikenali sebagai British Malaya manakala dua sub-kategori yang terakhir dikenali sebagai British Borneo. Sebagai sebuah Koloni Mahkota British, NNS ditadbir oleh Gabenor yang dibantu oleh Majlis Eksekutif Negeri-Negeri Selat dan Badan Perundangan. Pada peringkat negeri, Pulau Pinang ditadbir oleh Leftenan Gabenor manakala Melaka dan Singapura oleh Residen. NNMB pula ialah satu sistem persekutuan di mana secara teori, British di bawah Residen Jeneral bertanggungjawab dalam hal-ehwal luar negara dan keselamatan manakala dasar domestik adalah dalam bidang kuasa negeri-negeri di bawah Sultan.

Namun, secara realiti, Sultan hanya berkuasa dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam manakala pentadbiran secara umumnya adalah di bawah telunjuk Residen Jeneral. Tidak seperti NNS atau NNMB, NNMTB bukanlah suatu entiti rasmi di mana pegawai pentadbiran paling kanan daripada British dikenali sebagai Penasihat.

Johor dipaksa menerima Penasihat British pada 1904 manakala Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 1909 akibat Perjanjian British-Siam yang ditandatangani di Bangkok.

Pada 1 April 1946, NNS (tanpa Singapura), NNMB dan NNMTB cuba digabungkan untuk membentuk Malayan Union sebagai ganti bagi British Malaya selepas Perang Dunia Kedua. Walaupun perspektif Inggeris mewajarkan pembentukan Malayan Union sebagai langkah menyediakan Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan, selari dengan Piagam Atlantik yang ditandatangani British pada 14 Ogos 1941 dengan pengisytiharan bahawa “semua negara-negara dunia berhak menentukan sistem pemerintahan sendiri atau dalam erti kata lain mencapai kemerdekaan”, ramai yakin bahawa Malayan Union sebenarnya rancangan British menukarkan status semua negeri Melayu sama ada bersekutu atau tidak bersekutu daripada “naungan” kepada “koloni”, sekali gus memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu.

Dengan Malayan Union, kononnya Tanah Melayu dijanjikan kemerdekaan tetapi kerajaan akan diketuai oleh Gabenor British, dibantu oleh Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan. Dengan bidang kuasa yang sangat terhad sekadar berkaitan agama Islam dan adat istiadat, Sultan-Sultan dilihat akan hilang kuasa sama sekali. Di negeri-negeri tanpa Sultan seperti Pulau Pinang dan Melaka, ketua pentadbiran adalah Pesuruhjaya Residen yang mempunyai kewajiban hanya terhadap Gabenor.  Dengan Malayan Union, British dilihat mempunyai lebih kuasa jika dibandingkan sebelum pendudukan Jepun kerana hampir semua perkara mengenai Tanah Melayu di bawah kawalan mereka.

Akibat tentangan yang hebat daripada masyarakat Melayu di samping bidasan daripada pegawai-pegawai dan pesara-pesara British dalam perkhidmatan awam dan ketidakghairahan kaum Cina dan India, maka Malayan Union berkubur pada 1 Februari 1948 dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, akhirnya Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Meskipun terdapat perbezaan nuansa dalam istilah koloni dan protektorat, sekiranya benar Malaysia tidak pernah dijajah oleh British, penulis tidak nampak apa perlunya Malaysia menyertai persatuan Negara-Negara Komanwel atau secara ringkasnya dikenali sebagai Komanwel yang sebenarnya merupakan lanjutan Empayar British.

Mahu atau tidak, kita terpaksa akur dengan kenyataan bahawa Komanwel ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara berdaulat yang ditubuhkan atau pernah dijajah oleh British kecuali Mozambique (bekas jajahan Portugis) dan Rwanda (bekas jajahan Belgium) yang memperakui bahawa Raja atau Ratu United Kingdom paling kurang sebagai Ketua Komanwel meskipun tidak sebagai Ketua Negara bagi negara-negara dalam “Commonwealth Realm”. Malah, Tun Hanif Omar sendiri menyatakan dalam ucapan beliau, “Hasil mahsul negara dipugar sebahagian besarnya oleh kepentingan pentadbiran dan penjajahan British ini serta komprador mereka”. Kenyataan beliau ini jelas menggambarkan kekeliruan fakta dan kecelaruan dalam kotak fikiran Tun Hanif Omar mengenai beberapa perkara khususnya definisi bagi penjajahan.

Kedua, penulis merasakan kecaman terhadap Mat Sabu yang menganggap polis yang terbunuh dalam peristiwa Bukit Kepong semasa mempertahankan balai polis sebagai “wira kolonial” agak keterlaluan, tidak tepat dan tidak adil. Ini kerana dalam ucapan Mat Sabu pada 21 Ogos 2011 di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, beliau hanya mempersoalkan kenapa Mat Indera, seorang lelaki Melayu yang mengetuai serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan sasaran utama adalah Ray Dancey, seorang sarjan British digambarkan sebagai pengganas sedangkan kejadian berlaku semasa Darurat Tanah Melayu (1948-1960) sebelum Merdeka di mana Malaya masih lagi di bawah penjajahan British.

Justeru, polis yang berkhidmat ketika itu secara teknikal sememangnya penjawat awam di bawah pentadbiran penjajah British yang sudah pasti menjunjung taat setia kepada Mahkota British. Tidak pernah sama sekali Mat Sabu menyatakan bahawa seramai 180 ahli Rejimen Keempat Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Mat Indera semasa serangan itu berlaku sebagai “hero”.

Perlu diingat bahawa matlamat utama PKM adalah untuk membebaskan Malaya daripada cengkaman penjajah British meskipun jalan yang dipilih adalah gerila bersenjata. Maka, sesiapa yang bersubahat dengan British dianggap oleh PKM sebagai tali barut penjajah dan petualang tanah air.

Suka penulis ingatkan juga bahawa seramai 19 anggota polis dan ahli keluarga mereka terbunuh dalam kejadian saling berbalas tembakan itu hanya setelah mereka digesa menyerah diri oleh Rejimen Keempat. Malah, ramai ahli Rejimen Keempat yang turut terkorban dalam pertempuran tersebut. Dengan tipu muslihat, Mat Indera kemudiannya berjaya ditangkap dan dihukum gantung sampai mati di Penjara Taiping, Perak. Persoalannya, siapakah pejuang kemerdekaan yang sebenar?

Ketiga, tuduhan mengatakan bahawa demonstrasi jalanan di zaman 1950-an, 1960-an dan 19-70an hanya melibatkan muda-mudi Cina yang pro-komunis adalah berniat jahat dan memesongkan fakta. Sebagai contoh, kebangkitan mahasiswa Malaysia 1971-1975 yang sudah tentu merangkumi demonstrasi jalanan, dipelopori oleh mahasiswa Universiti Malaya dan Institut Teknologi Mara (nama bagi Universiti Teknologi Mara ketika itu) yang rata-ratanya anak muda Melayu.

Demonstrasi, tunjuk perasaan dan protes dalam pelbagai bentuk lain yang dizahirkan oleh mahasiswa dalam tempoh tersebut merupakan natijah penggubalan dan pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pada 1971 yang mengekang kebebasan bersuara mahasiswa dan kemelut kemiskinan rakyat terutamanya di Baling, Kedah. Malah, kesemua mahasiswa dan pensyarah yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1948 (ISA) di antara 1971-1975 berketurunan Melayu. Maka, “fenomena demonstrasi jalanan berteraskan muda-mudi dan warga Melayu” hanya bermula dalam ‘Zaman Ketiga’ iaitu era pasca-1998 seperti yang ditakrifkan oleh Tun Hanif Omar adalah secara terang-terangan suatu kenyataan tidak berasas yang memalukan bagi seorang bekas Ketua Polis Negara.

Keempat, penulis sangat bersetuju bahawa ‘Zaman Ketiga’ adalah “zaman terdapat berbagai pihak menabur fitnah dan pembohongan tanpa segan-silu atau takut kepada Allah”. Kekerapan disaman dan kekalahan demi kekalahan dalam kes mahkamah melibatkan saman fitnah bagi Utusan Malaysia, lidah rasmi Umno merupakan bukti paling tepat dan ampuh bahawa ia salah sebuah “akhbar auta” di kalangan media tradisional yang dilihat lebih cenderung memalsukan kebenaran, mencipta berita khayalan, menyebar fitnah, menjana hasutan, meniup api perkauman dan memasung minda. Oleh kerana media tradisional sudah hilang kredibiliti dan kepercayaan rakyat, maka tidak hairanlah rakyat mencari sumber berita lain melalui media alternatif yang dilihat lebih menitikberatkan fakta yang benar dan maklumat tepat tanpa pembohongan dan penipuan.

Kelima, penulis merasakan bahawa Tun Hanif Omar mungkin keliru di antara “keburukan negara sendiri” dan “kepincangan pentadbiran, salah laku kewangan dan kebobrokan sistem”. Demi masa depan yang lebih baik bagi generasi akan datang, penulis berpendapat menjadi tugas dan kewajiban semua warganegara yang bertangunggjawab, prihatin dan sayangkan negara sendiri untuk sentiasa membongkar dan menentang segala bentuk penyelewengan, penyalahgunaan dan pelanggaran undang-undang yang dilakukan sewenang-wenangnya oleh mereka yang mendapat mandat rakyat untuk memerintah.

Untuk peringatan Tun Hanif Omar, dalam era teknologi maklumat hari ini, seseorang tidak perlu bergerak dari satu negara ke satu negara untuk menyampaikan maklumat sebenar kerana maklumat itu sendiri bergerak sepantas kilat dalam sekelip mata dari satu benua ke benua yang lain. Maka, tiada sebarang maklumat mengenai Malaysia yang akan terlepas daripada pandangan dunia di mana kita berada. Itulah keajaiban teknologi maklumat dan komunikasi!

Keenam, penulis ingin mengingatkan Tun Hanif Omar bahawa bibit konflik dan krisis di antara Raja-Raja Melayu dan kelas politik pemerintah sebenarnya mula tampak seawal 1970-an. Kemuncak adalah krisis perlembagaan 1983 dan 1993 yang didalangi tidak lain dan tidak bukan oleh Umno sendiri di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maka, tuduhan bahawa “kedudukan raja-raja mula disentuh” dalam ‘Zaman Ketiga’ jelas satu pembohongan dan penyelewengan fakta secara terancang yang tidak boleh dimaafkan. Boleh kita simpulkan bahawa campur tangan istana dalam kancah politik tidak akan dibantah selagi mana ia memihak kepada Umno – Barisan Nasional.

Hanya sokongan bersifat partisan sebeginilah yang dibenarkan di mana Umno – Barisan Nasional akan terus memutarbelitkan isu-isu berkaitan sistem raja berperlembagaan dan menuduh koalisi pembangkang sebagai anti-raja sehinggakan mana-mana parti pembangkang tiada peluang yang saksama atau keupayaan sangat terbatas untuk memecahkan monopoli kuasa politik  di Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa hanya Umno – Barisan Nasional sebenarnya yang anti-monarki dalam usaha mereka merampas atau paling tidak mengurangkan kuasa dan pengaruh raja-raja sebagaimana yang kita saksikan dalam kedua-dua episod krisis perlembagaan 1983 dan 1993.

Malah, sebelum menukilkan “The Malay Dilemma” pada 1970, Dr Mahathir pada 1965, mengkritik Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa kaum Bumiputera khususnya Melayu sebagai memalukan bagi kaum itu sendiri. Hansard Parlimen bertarikh 8 Ogos 1965 yang memetik ucapan Dr Mahathir dicatatkan seperti berikut, “Saya tidak percaya, saya sebutkan lagi tidak percaya dengan diadakan, dengan dicatitkan di dalam Perlembagaan hak Bumiputera, maka ini akan membawa kepada kesenangan bagi orang Melayu. Dan pada satu masa kita akan buang sekali hak istimewa orang Melayu. Saya faham bahawa hak ini yang ada tercatit di dalam Perlembagaan pada masa sekarang juga ialah satu tanda kehinaan bagi orang Melayu”.

Maka, jelas tuduhan Tun Hanif Omar bahawa “hak istimewa kaum Bumiputera sewenang-wenangnya dipersoalkan” dalam ‘Zaman Ketiga’ bersifat semberono tanpa sebarang analisa terperinci kerana isu tersebut sudah lama menjadi topik perbincangan dan perdebatan umum.

Sebagai mengakhiri ulasan ini, penulis ingin menggesa agar Tun Hanif Omar menarik balik ucapan ini untuk memperbetul segala fakta yang bercanggah serta membuat kajian lebih mendalam dan terperinci lengkap dengan bukti empirikal yang tidak boleh disanggah lagi supaya tidak dituduh buta sejarah atau penyeleweng fakta. Tanpa rektifikasi dan langkah penghalusan yang sewajarnya, ucapan beliau hanya layak “dibakulsampahkan”. – 17 Disember, 2013.

* Penulis ialah anak muda bertugas di jabatan kerajaan yang kritis terhadap isu negara. Terpaksa menggunakan nama pena kerana belum bersedia secara mental dan fizikal untuk berdepan dengan OSA dan Sosma.

Read more : http://my.news.yahoo.com/hanif-omar-antara-buta-sejarah-kekeliruan-fakta-dan-111839362.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s