WARKAH DARI GENEVA : PERJUANGAN MUSLIM PRO MENGHALANG LGBT DAN SEKS SONGSANG DI MALAYSIA

UNasha

Warkah ini adalah dari Ustaz NASHARUDIN MAT ISA Dari Avenue Louis-Casai, Cointrin, Geneva, Switzerland. yang mana bersama MUslim PRO yang telah berjuang untuk menghalang penyebaran aktiviti songsang LGBT yang mana di cadangkan oleh 54 NGO di Malaysia yang mana menggunakan Hak Asasi begai landasan perjuangan mereka untuk menghalalkan aktiviti tersebut.

SUDAH hampir seminggu saya berada di Geneva bersama-sama dengan anggota delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) seramai enam orang. Seperti yang kita sedia maklum,MuslimUPRo merupakan gabungan NGO-NGO Islam yang bersama-sama bangkit untuk membantah pihak Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango), dan dalam masa yang sama berusaha melibatkan diri dalam Proses Semakan Berkala (UPR) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui konsultasi dan memberikan pandangan dan saranan kepada pihak Kerajaan Malaysia.

Kami hadir untuk melihat sendiri proses penerimaan muktamad oleh wakil Kerajaan Malaysia terhadap saranan yang telah dibuat oleh negara-negara anggota PBB melalui proses tersebut. Daripada sejumlah 232 syor yang dikemukakan pada Oktober 2013, iaitu sebanyak 113 syor kesemuanya, 21 syor secara prinsipnya diterima, manakala 83 lagi ditolak.

Setelah sekian waktu pihak MuslimUPRo mengadakan beberapa siri kempen dan penerangan di seluruh negara, dengan di akhiri melalui Seminar Hak Asasi Manusia yang dianjurkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia baru-baru ini.

Pihak kami juga telah turut mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak kerajaan dan saban hari mengharapkan agar kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan pihak Comango yang jelas cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan, mempertikai kedudukan Islam dan juga mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

MUSLIMpro official logoMuslimUPRo ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada kerajaan Malaysia yang telah menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah Hak Asasi Manusia berdasarkan syor-syor negara-negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia.

Penerimaan muktamad Malaysia telah pun dinyatakan di dalam dokumen rasmi PBB rujukan A/HRC/25/10/Add.1 bertarikh 4 Mac 2014.

Pendirian Malaysia ini yang dinyatakan semasa Sesi Penerimaan Muktamad pada 20 Mac 2014, bagi saya adalah satu manifestasi tepat yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan kesederhanaan berdasarkan prinsip wasatiyyah dan komitmen Malaysia terhadap usaha untuk memperbaiki tahap dan keadaan hak asasi manusia di negara ini, tanpa berkompromi dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan realiti sejarah, agama dan budaya negara.

Syukur alhamdulillah kerana semua ini dapat berlaku berkat doa dan munajat yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia beragama Islam yang prihatin dan sedar bahawa ancaman terhadap agama kita sedang berlaku.

Menghentam

Tidak cukup dengan usaha dari dalam, negara kita cuba diheret sehingga ke pentas antarabangsa untuk akur dan menerima norma-norma Barat yang asing daripada agama dan budaya kita. Kita harus terus berdoa dan melakukan sesuatu dalam isu ini kerana usaha mereka yang memusuhi agama kita ini tidak terhenti setakat proses UPR yang kedua ini.

Pihak MuslimUPRo menjangkakan proses UPR yang ketiga yang dijadualkan pada 2017 nanti pastinya akan lebih hebat dan mencabar. Sudah tentu pihak Comango khasnya akan meneruskan kempen jahat mereka yang melanggar prinsip dan amalan agama Islam. Malah acara sampingan yang mereka anjurkan di Geneva ini pun telah mula mereka jadikan medan untuk menghentam kerajaan Malaysia dan masih berterusan membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menggugat agama Islam di negara kita.

Agenda Comango tidak terhenti setakat proses UPR. Pentas yang mereka gunakan juga bukan sekadar PBB. Mereka telah mengadakan lobi di sana sini. Dengan sokongan dan dana yang mereka perolehi dari luar negara khasnya, usaha mereka akan terus mereka gerakkan untuk memaksa negara kita menerima kesesatan dan kebatilan perjuangan mereka yang kononnya dilakukan atas prinsip hak asasi manusia!

Satu perkara yang hendak saya ketengahkan di sini ialah, walaupun yang diperjuangkan oleh Comango itu adalah sesuatu yang batil dan bercanggah dengan kehendak agama dan budaya, tetapi kerana mereka itu bersatu, maka suara mereka sampai ke pentas antarabangsa.

Mereka kelihatan kuat walaupun jumlah mereka bukanlah begitu ramai mana pun, tetapi mereka berupaya mengumpul tenaga dan kekuatan yang sedikit itu untuk memperjuangkan suara kebatilan mereka.

Dengan demikian, inilah masa yang terbaik bagi umat Islam negara ini untuk sama-sama sedar dan insaf, bermuhasabah dan bangkit sebagai satu saff yang kukuh, ibarat batu-batu yang diikat kemas dan rapi sebagaimana yang Allah jelaskan dalam Surah as-Saff ayat 4. Marilah kita renungkan bersama – bagaimana jika kumpulan yang batil ini boleh bangkit dan berjuang, kenapa tidak kita sebagai umat Islam yang sudah disebut Allah SWT sebagai khaira ummah ukhrijat lillnas (sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia) tidak mampu untuk bergabung tenaga dan bermuafakat mempertahankan dan memperjuangkan agama ini pada tahap paling maksimum yang kita mampu?

Saya amat yakin, apa yang telah kita capai di Geneva kali ini adalah berkat daripada doa orang ramai, penyatuan gerak kerja dalam kalangan NGO-NGO Islam dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan, maka kita dikurniakan Allah SWT dengan keputusan yang saya anggap sebagai satu kemenangan untuk Islam di negara kita.

Ada banyak lagi isu di hadapan kita yang memerlukan kesepakatan dan perpaduan di kalangan umat Islam. Kenapa tidak dalam hal yang berkaitan dengan mempertahankan agama, kita berpegang pada perintah Allah SWT …inna hazihi ummatukum ummatan wahidah… (sesungguhnya inilah dia umat kamu… umat yang satu). Kekuatan kita adalah pada kesepakatan dan perpaduan yang jitu selaku umat yang satu.

MuslimUPRo sedang merancang beberapa strategi untuk berdepan dengan cabaran mendatang khasnya dalam isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Antaranya ialah penubuhan sebuah pusat kecemerlangan ilmu hak asasi manusia. Kita bukan anti kepada tuntutan hak asasi tetapi ia mestilah dalam kerangka agama, budaya dan perundangan negara.

Menarik juga untuk dinukilkan di sini, ketika kami di Geneva ini, di mana sahaja kami pergi, sama ada di restoran, kedai buku, di tempat penginapan malah di dalam bas pun, apabila kami ditegur; “kamu semua dari mana,” lalu kami jawab “dari Malaysia,” spontan sahaja kalimah yang akan diungkapkan kepada kami ialah “we are all praying for the safety of the aircraft”.

Benar, dua topik besar yang saban hari menjadi tajuk utama dalam media di sini ialah isu kehilangan pesawat MH370 dan perkembangan politik di Rusia dan Ukraine.

Rakyat asing di sini merakam tahniah kepada usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan kukuh dan kerjasama erat 26 negara yang terus-menerus berusaha untuk mencari pesawat tersebut. Yang menarik bagi saya adalah ungkapan “we are all praying for the safety of the aircraft”.

Sekali lagi, dalam suasana yang sedang kita hadapi ini, sebagai hamba Allah SWT, doa ialah senjata orang mukmin yang paling ampuh yang mampu kita tadahkan tangan agar usaha pencarian ini akan terjawab segera.

Islam mengajar kita bahawa di antara mereka yang mustajab doanya insya-Allah ialah doa orang yang sedang bermusafir. Di sini kami juga turut mendoakan dipermudahkan Allah SWT agar usaha pencarian pesawat ini berjaya dan kami juga bermohon agar Allah SWT memelihara negara kita daripada sebarang ancaman pihak-pihak yang merancang untuk menghancurkan Islam, keharmonian dan kemakmuran negara kita.

Amin Ya Rabb al alamin.

Oleh NASHARUDIN MAT ISA Dari Avenue Louis-Casai, Cointrin, Geneva, Switzerland.

SUMBER : rmf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s