LAPORAN AWAL MH370 DIKELUARKAN

Berikut laporan awal oleh Pejabat Ketua Inspektor Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan yang dikeluarkan hari ini (semalam).

LAPORAN AWAL MH370 (SIRI 03/2014)

Jenis Pesawat & Pendaftaran: Boeing 777-2H6ER, 9M-MRO
Tahun Pengeluaran: 29 Mei 2002
Negara Pendaftaran: Malaysia
No & Jenis Engin: 2 Rolls Royce RB211 Trent 892B17
Lokasi: Tidak Diketahui (Kali terakhir ‘return’ oleh Radar Pemantauan Sekunder (SSR), Waypoint IGARI)
Tarikh & Masa (Masa Tempatan) 8 Mac 2014 & Tidak Diketahui (kali terakhir ‘return’ SSR pada jam 01:21:13)
Operator: Malaysian Airlines (MAS)
Nama Penerbangan: MH 370
Jenis Penerbangan: Berjadual (Pengangkutan Udara Komersial), IFR
Orang Dalam Pesawat: 227 penumpang + 12 anak kapal

Baca lagi ……

 

Penyiasatan

Pada jam 01:38 Waktu Malaysia* (MYT) pada 8 Mac 2014 (Sabtu), Boeing 777-2H6ER, pendaftaran 9M-MRO, dan nama penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak
kapal, dilaporkan hilang selepas melalui waypoint IGARI** semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dimaklumkan bahawa penerbangan MH370 telah hilang dan penyiasatan dilancarkan.

Menurut Lampiran 13 Kemalangan Pesawat dan Penyiasatan Kemalangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Bahagian XII Penyiasatan Kemalangan, Peraturan
Penerbangan Awam Malaysia 1996 dan bersama-sama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) USA, yang mewakili Negara Reka Bentuk dan Pengeluar pesawat itu,
telah melantik Wakil Bertauliah untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam penyiasatan. Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom, mewakili Negara Reka Bentuk dan Pengeluar bagi enjin, juga telah melantik Wakil Bertauliah.

Wakil Bertauliah NTSB dibantu oleh satu pasukan penasihat teknikal daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) dan Boeing.

Wakil Bertauliah AAIB dibantu penasihat teknikal daripada Rolls-Royce dan Inmarsat iaitu operator Satelite yang telah berkomunikasi dengan pesawat itu semasa dalam penerbangan.

* Waktu Malaysia (MYT) adalah Masa Koordinasi Universal (UTC)+ 8 jam

** Waypoint Igari terletak di Latitud N6 darjah 56.87 minit dan Longitud E103 darjah 34.63 minit.

Kerajaan Australia dan Kerajaan China juga telah melantik Wakil Bertauliah selaras dengan Lampiran 13 ICAO, Perenggan 5.23.

Malaysian Airlines (MAS), selaku operator, memberikan kerjasama dalam penyiasatan, dan menyediakan kepakaran seperti diperlukan dan DCA Malaysia sentiasa dimaklumkan perkembangannya.

Sejarah penerbangan

Pada MYT 00:41:43 8 Mac 2014 (Sabtu), MH370 berlepas dari Landasan 32R di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam jadual penerbangan ke  Beijing, China.

Pada MYT 00:42:07, MH370 diberi kebenaran untuk naik ke Paras Penerbangan (FL) 180* dan diberi kebenaran meneruskan penerbangan oleh LUMPUR APPROACH di Pusat
Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) ke waypoint IGARI. MH 370 dipindahkan kepada LUMPUR RADAR di KLATCC pada MYT 00:42:52.

Penerbangan itu kemudian diberikan kebenaran untuk naik ke paras FL 250 pada MYT 00:46:51 MYT dan kemudiannya ke paras FL 350 pada MYT 00:50:06. MH370 dilaporkan kekal pada paras FL 350 pada MYT 01:01:16 MYT dan sekali lagi dilaporkan kekal pada paras FL 350 pada MYT 01:07:55.

* Pada ketinggian di atas 11,000 kaki di Malaysia, paras ketinggian pesawat di atas paras laut dirujuk sebagai Paras Penerbangan(FL). 180 FL bersamaan dengan 18,000 kaki.

Pada MYT 01:19:24, LUMPUR RADAR di KLATCC mengarahkan MH370 supaya menghubungi Pusat Kawalan Trafik Udara HO CHI MINH (HCMATCC) pada frekuensi radio 120.9 MHz. MH370 memaklumkan dengan “selamat malam Malaysia Tiga Tujuh Kosong”.

Pada MYT 01:21:04, MH370 dikesan pada skrin radar di KLATCC semasa ia melalui waypoint IGARI. Pada MYT 01:21:13, label radar bagi MH370 hilang daripada skrin radar di LUMPUR RADAR KLATCC.

Pada MYT 01:38, HCMATCC bertanya kepada KLATCC mengenai kedudukan MH370. Selepas itu KLATCC memulakan usaha dengan melibatkan Pusat OPS MAS, ACC Singapura,

ACC Hong Kong dan ACC Phnom Penh untuk menentukan lokasi MH370. Tiada perhubungan dibuat dengan mana-mana unit ATC dan dengan itu Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) diaktifkan pada MYT 05:30.

Kemudiannya disahkan bahawa transmisi daripada Sistem Komunikasi dan Pelaporan Pesawat (ACARS) menerusi sistem komunikasi satelite telah berlaku mengikut selang waktu secara

konsisten sebelum MH370 berlepas dari Kuala Lumpur, Malaysia pada MYT 12:56:08 dan komunikasi terakhir direkodkan pada MYT 01:07:49.

Mencari dan Menyelamat (SAR)

Pusat Penyelarasan Menyelamat Kuala Lumpur (KL RCC) diaktifkan pada 05:30 LT selepas semua usaha untuk menghubungi dan mengesan lokasi pesawat gagal. Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan di Laut China Selatan, tempat kedudukan terakhir pesawat itu diketahui.

Penelitian semula rakaman daripada radar primer tentera mendedahkan bahawa sebuah pesawat yang mungkin MH 370 telah berpatah balik menghala arah barat Semenanjung Malaysia.

Kawasan pencarian kemudian diperluaskan ke Selat Melaka.

Selepas ACARS berhenti menyalurkan mesej daripada sistem komunikasi satelit automatik yang sebelumnya menyalurkan tujuh mesej yang telah mengesahkan bahawa sistem itu masih
aktif dalam rangkaian.

Mesej terakhir diterima oleh stesen bumi satelit pada MYT 08:19. Dengan data radar primer, analisis data satelit dan data prestasi pesawat, Penyiasatan mengesahkan penerbangan
MH370 telah terbang di sepanjang sama ada di Koridor Utara atau Koridor Selatan.

Tranmisi terakhir berlaku apabila pesawat itu berada di titik 40 darjah dari satelit. Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, kawasan pencarian dialihkan dari Laut China Selatan dan Selat
Melaka ke Koridor Utara dan Koridor Selatan.

Pada 24 Mac 2014, analisis selanjutnya terhadap data satelit Inmarsat, menggunakan perubahan dalam isyarat frekuensi komunikasi satelit (isyarat menggunakan Doppler Effect),

menunjukkan bahawa MH370 telah terbang di Koridor Selatan dan penerbangannya berakhir di kawasan selatan Lautan Hindi.

Penyiasatan diteruskan dengan menganalisis data satelit dan prestasi pesawat untuk memperhalusi dan mengenal pasti kawasan tempat pesawat itu berakhir.

Sehingga kini, sebanyak 26 negara turut serta dalam usaha mencari MH370 membabitkan 82 pesawat dan 84 kapal. Operasi SAR masih diteruskan.

Cadangan keselamatan

Walaupun pesawat dilengkapi peralatan komunikasi yang perlu untuk memberikan maklumat tentang lokasinya, mesej terakhir ACARS direkodkan pada MYT 1:07:29 MYT, pengesanan terakhir radar sekunder pada MYT 1:21:13 dan komunikasi satelit terakhir pada MYT 08:19 pada 8 Mac. Setelah lebih sebulan selepas pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, lokasinya masih tidak diketahui.

Meskipun pesawat pengangkutan udara komersial menghabiskan banyak masa beroperasi di kawasan terpencil, pada masa ini tidak disyaratkan bagi pengesanan pesawat berkenaan mengikut masa nyata.

Terdapat dua kejadian dalam tempoh lima tahun lepas apabila pesawat pengangkutan udara komersial bersaiz besar telah hilang dan kedudukan terakhirnya tidak diketahui secara tepat.

Ketidakpastian itu telah menimbulkan kesukaran untuk mengesan pesawat itu secara tepat pada masanya.

Oleh itu, Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Malaysia telah mencadangkan langkah keselamatan berikut kepada ICAO:

Ia mencadangkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa meneliti faedah-faedah keselamatan dengan memperkenalkan pengesanan pesawat pengangkutan udara komersial mengikut masa nyata yang standard.

Nota

Maklumat terkandung dalam laporan awal ini adalah betul pada masa ia dikeluarkan dan bertujuan untuk memaklumkan kepada industri penerbangan dan orang awam tentang rentetan peristiwa itu secara amnya. Pembaca diingatkan bahawa terdapat kemungkinan maklumat baharu akan diperolehi yang akan mengubah maklumat dalam Laporan Awal ini.

Laporan ini ditulis mengikut Manual Penyiasatan Kemalangan Pesawat dan Kemalangan Doc 9756 AN/965 ICAO – Pelaporan Bahagian IV.

Ketua Inspektor Kemalangan Udara
Kementerian Pengangkutan Malaysia
9 April 2014

– Bernama

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s