SIAPAKAH 7 PEMIMPIN UMNO YANG BAKAL DIKENAKAN TINDAKAN ?

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Umno sedang memantau tujuh pemimpinnya yang mungkin berdepan tindakan disiplin, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan ketujuh-tujuh pemimpin yang sedang dipantau itu.

“Kami sedang memantau tujuh pemimpin. Jika perlu, tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Umno akan mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.

“Itu pendapat beliau sendiri.

“Baru-baru ini, saya lihat di pelbagai laman web bahawa beliau (Dr Mahathir) mula menyerang saya. Saya hanya mahu melakukan tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Agung Umno,” kata Tengku Adnan.

Tengku Adnan juga meminta media supaya berhenti melaga-lagakan pemimpin lama dan pemimpin baharu.

“Cukup-cukuplah. Jangan laga-lagakan pemimpin lama dan pemimpin baharu,” katanya.

Beliau berkata masalah yang dihadapi pada pentadbiran kerajaan pada hari ini harus ditangani oleh pemimpin sedia ada.

“Kami tidak memerlukan campur tangan pemimpin lama untuk selesaikan masalah kami, kami tahu bagaimana untuk menyelesaikannya.

“Sama seperti Tun (Dr Mahathir), penggalnya sudah berakhir, cukup-cukuplah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata peguam Umno akan menghantar surat balas kepada Pengerusi Akademi Belia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota Umno dalam masa terdekat bagi menjawab persoalan bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno itu mengenai surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya pada 28 September lalu.

Surat tunjuk sebab itu dihantar oleh Tengku Adnan berkenaan kehadiran Saifuddin di majlis pelancaran gabungan baharu parti pembangkang, Pakatan Harapan, pada 22 September lalu.

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, diiringi timbalannya, Datuk Dr Loga Bala Mohan, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin, menghadiri majlis pelancaran dan sesi pengundian Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan di Residensi Kepongmas di sini.

Projek fasa pertama yang dibangunkan oleh Syarikat Sinerjuta Sdn Bhd di Kepong itu menawarkan 1,514 unit rumah mampu milik berharga RM188,000 hingga RM198,000 dengan keluasan 800 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu tempat letak kereta.

Tengku Adnan berkata nilai pasaran semasa bagi unit yang ditawarkan pada harga kurang daripada RM200,000 tersebut adalah RM235,000 seunit.

Katanya 500 pembeli yang layak mencabut undi bagi memiliki fasa pertama pangsapuri, yang dijangka siap pembinaannya pada 2018.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s